KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan pop Jepun, AKB48, Azuki Yagi dan Sae Arai meluahkan hasrat untuk mencuba pakaian tradisional Malaysia dan melawat Batu Caves sepanjang keberadaan mereka di sini.
Azuki berkata, keinginan untuk menggayakan busana tradisional tempatan timbul selepas melihat keunikan dan keindahan pakaian tersebut.
“Saya teringin mahu pakai baju tradisional kebangsaan Malaysia sebab saya lihat orang Malaysia pakai sangat cantik.
“Pakaian itu melambangkan identiti Malaysia dan saya harap suatu hari nanti dapat peluang untuk memakainya,” katanya pada sidang media AKB48 The Stage in Japan Expo Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Sae Arai memberitahu beliau berhasrat untuk mengujungi Batu Caves selepas mendapat tahu ia merupakan antara lokasi tumpuan utama pelancong asing.
“Saya teringin mahu panjat tangga Batu Caves. Walaupun tahu tempat itu agak jauh dari sini, saya dengar ia merupakan destinasi wajib dikunjungi bagi pelancong dan artis luar negara,” katanya.
AKB48 berada di ibu kota bagi menjayakan konsert eksklusif AKB48 The Stage sempena Japan Expo Malaysia 2026 (JEMY 2026) di KLCC.
Persembahan tersebut merupakan kemunculan semula kumpulan itu di Malaysia selepas kali terakhir mengadakan konsert pada 2024.




