Kuala Lumpur: Parlimen Malaysia mencipta satu lagi sejarah apabila penganjuran Larian Cergas Parlimen 2026 berjaya menghimpunkan lebih 600 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat sekali gus memperkukuh usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Acara larian sejauh 5 kilometer (km) itu disempurnakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul bersama Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah yang turut melepaskan peserta di pintu utama Parlimen Malaysia, hari ini.
Penyertaan Ahli Parlimen bersama orang awam dalam acara berkenaan dilihat sebagai simbol keterbukaan institusi Parlimen dalam mendekati masyarakat selain mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dan komuniti.
Penganjuran Larian Cergas Parlimen 2026 turut menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan agenda ‘Merakyatkan Parlimen’ dengan menjadikan institusi itu bukan sahaja sebagai tempat penggubalan undang-undang, malah platform yang menyokong kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan sama, Parlimen Malaysia mengumumkan perancangan memperluaskan inisiatif berkenaan menerusi pelancaran ‘222 MY Cergas Parlimen Hybrid Run’ yang akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.
Langkah itu bertujuan menyemai budaya hidup aktif dan sihat hingga ke peringkat akar umbi selain menggalakkan pembabitan Ahli Parlimen dalam menyokong program kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing.
Inisiatif berkenaan juga dijangka menjadi antara usaha ke arah mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi penyertaan seluruh Ahli Parlimen dalam program kecergasan berskala nasional.
Parlimen Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada My Creative Moments selaku penganjur bersama serta semua pihak yang menjayakan acara berkenaan.
Penganjuran Larian Cergas Parlimen 2026 membuktikan peranan Parlimen Malaysia semakin berkembang sebagai institusi yang bukan saja berfungsi dalam aspek perundangan, malah turut menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih cergas, aktif dan sejahtera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




