PM luang masa hadir Citrawarna 2026

PM luang masa hadir Citrawarna 2026

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir meluangkan masa dan memeriahkan acara kemuncak Citrawarna 2026, di Dataran Merdeka, di sini, malam ini yang meraikan kepelbagaian budaya, seni dan warisan Malaysia.

Acara kemuncak itu, Citra Perarakan (Colours of Parade) menampilkan seramai 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, serta masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

Citrawarna 2026 dianjurkan Tourism Malaysia dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN), Istana Budaya serta Muzium Tekstil Negara.

Ia mencerminkan komitmen bersama mempromosikan pelancongan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa.

Berlangsung sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), program yang membawa tema ‘Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa’ itu dianjurkan selama tiga hari hingga esok di Dataran Merdeka.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Orang ramai termasuk pengunjung luar negara turut tidak melepaskan peluang menyaksikan acara menarik itu.

Tourism Malaysia dalam kenyataan, hari ini berkata, penganjuran Citrawarna 2026 berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan yang dirangka khas membabitkan dari China, India, Jepun Mauritius, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis.

Menurutnya, penyertaan itu mencerminkan minat antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan budaya Malaysia di samping memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri warisan, tradisi dan hospitaliti negara.

“Selain persembahan budaya Malaysia di atas pentas menerusi Citra Perarakan, Citrawarna 2026 juga menggalakkan pengunjung meneroka secara langsung elemen kebudayaan negara melalui seni canting batik, anyaman ketupat, demonstrasi juadah tradisional serta aktiviti interaktif lain dikendalikan oleh artisan dan penggiat budaya.

“Pengalaman ini membantu generasi muda menghayati warisan mereka, di samping meningkatkan pemahaman pengunjung antarabangsa terhadap kekayaan tradisi serta kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya.

Citrawarna 2026 digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi sambutan seperti Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Arts).

Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna menjadi antara produk pelancongan budaya utama negara yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia ke peringkat antarabangsa

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top