am@hmetro.com.my
Port Dickson: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata soal BN meniru atau ‘copy-paste’ manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak berbangkit bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Beliau berkata, intipati manifesto yang dibentang BN bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya adalah hasil usaha berterusan parti sejak sekian lama.
“Tidak timbul soal ‘copy paste’ kerana dari 2004 hingga 2018, manifesto itu kami garapkan. Apa yang dilakukan sekarang adalah untuk menambah baik daripada apa yang telah sedia ada,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di sini, malam ini.
Ahmad Zahid turut memberi peringatan supaya pihak lawan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan semata-mata untuk meraih persepsi politik.
“Kita tidak melihat apa yang mereka lakukan di Johor sebelum ini sebagai ‘copy-paste’ jadi janganlah pula dituduh kami melakukan perkara sama,” katanya.
Beliau berkata, fokus utama BN ketika ini adalah meneruskan agenda pembangunan yang tergendala selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.
“Kita mempunyai tujuan yang sama iaitu melakukan kesinambungan terhadap agenda yang tergendala apabila BN tidak mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan pada 2018.
“Maka, Datuk Seri Mohamad Hasan tentunya berhak sebagai Pengerusi BN Negeri Sembilan bagi meneruskan kesinambungan agenda ini.
“Saya yakin beliau akan melakukannya dengan lebih baik bersama kepimpinan dan parti komponen BN di Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Harun mendakwa manifesto BN yang diumumkan semalam banyak meniru manifesto atau inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan PH.
© New Straits Times Press (M) Bhd




