Impian emas keempat Ramsay-Peaty lebur

Impian emas keempat Ramsay-Peaty lebur

Glasgow: Impian Adam Ramsay-Peaty memenangi pingat emas pada temasya Sukan Komanwel buat kali keempat berturut-turut tidak kesampaian apabila sekadar meraih gangsa acara 100 meter (m) kuak dada pada satu lagi malam gemilang buat Australia di Glasgow.

Sam Williamson mengejutkan pemenang tiga pingat emas Olimpik itu apabila menghadiahkan satu daripada lima emas yang dimenangi Australia daripada enam acara renang yang dipertandingkan.

Juara dunia 50m kuak dada di Doha dua tahun lalu itu memenangi perlumbaan sengit berkenaan dengan catatan 59.17 saat (s).

Bintang muda, Filip Nowacki turut mengatasi Ramsay-Peaty untuk meraih perak sekali gus menghadiahkan Jersey pingat Sukan Komanwel pertama dalam tempoh 36 tahun.

Ramsay-Peaty memburu rekod sebagai perenang pertama England memenangi pingat emas dalam empat temasya Sukan Komanwel berbeza.

Namun dengan isterinya Holly Ramsay, anak kepada cef selebriti Gordon Ramsay, menyaksikan perlumbaan itu dia gagal menyerlah dalam acara kegemarannya.

Ketika pasangan itu sedang menantikan kelahiran cahaya mata sulung mereka, Ramsay-Peaty memberi bayangan dia mungkin mempertimbangkan masa depannya dalam sukan itu berbanding memburu penampilan di Olimpik Los Angeles buat kali keempat.

“Anda mengharungi begitu banyak saat suka dan duka dalam sukan ini. Saya benar-benar perlu memikirkan mengenai acara 100m kerana ia memerlukan usaha yang sangat besar.

“Untuk kembali hampir kepada tahap saya dahulu memerlukan segala-galanya. Adakah formula itu masih sesuai apabila saya bakal menjadi bapa kepada dua anak? Saya rasa tidak.

“Saya benar-benar perlu memikirkannya dan melihat keadaan keluarga saya. Masih terlalu awal untuk membuat keputusan.”

Perenang berusia 31 tahun itu masih berpeluang memburu emas apabila beraksi pada final 50m kuak dada esok.

Perenang Afrika Selatan, Pieter Coetze mencipta rekod Sukan Komanwel buat kali ketiga dalam tempoh dua hari apabila memenangi acara 50m kuak lentang dengan catatan 24.18s.

Sementara itu, Australia terus mengungguli carta pungutan pingat dengan 12 emas berbanding tiga milik England dan Nigeria.

Sam Short mengetuai penguasaan Australia apabila mereka meraih kedudukan satu, dua dan tiga dalam acara 400m gaya bebas lelaki.

Mollie O’Callaghan pula mengetuai satu lagi kedudukan satu-dua Australia dalam acara 200m gaya bebas wanita di depan Lani Pallister yang memenangi emas 400m kelmarin.

Alex Perkins memenangi acara 50m kuak kupu-kupu wanita mengatasi Erin Gallagher dari Afrika Selatan dan Hazel Ouwehand dari New Zealand.

Namun kemenangan paling dominan Australia hadir dalam acara berganti-ganti 4x100m gaya bebas campuran apabila mereka mencipta rekod baharu temasya dan menamatkan perlumbaan hampir lima saat di depan pencabar dengan England meraih perak manakala Wales membawa pulang gangsa.

Georgia Sheffield dan William Ellard menghadiahkan England dua emas pertama dalam acara renang menerusi kategori para S14.

Kebangkitan Australia turut diteruskan di gelanggang gimnastik apabila mereka menewaskan Kanada untuk muncul juara acara berpasukan wanita.

Australia juga memulakan kempen mempertahankan pingat emas bola jaring dengan kemenangan besar 99-38 ke atas Tonga.

England membelasah Ireland Utara 83-34 sekali gus mengatur pertemuan yang dinanti-nantikan menentang Australia pada aksi peringkat kumpulan hari ini.

Scotland pula tewas 44-74 kepada pemenang gangsa 2022, New Zealand dalam perlawanan pembukaan.

Acara olahraga yang bermula esok kehilangan satu lagi nama besar apabila atlet Scotland, Eilish McColgan terlepas peluang mempertahankan gelaran 10,000m di laman sendiri selepas gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah tulang kaki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top