Los Angeles: Lionel Messi dikecualikan daripada menyertai Perlawanan All-Star Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS) minggu depan selepas mewakili Argentina pada final Piala Dunia baru-baru ini.
Liga itu memaklumkan pengecualian berkenaan sudah dipersetujui lebih awal susulan Piala Dunia 2026 berlangsung di pertengahan musim MLS, yang berehat selama tujuh minggu.
“Menjelang permulaan musim 2026, MLS dan Persatuan Pemain MLS bersetuju bahawa selepas pemain menamatkan kempen Piala Dunia, kelab akan berbincang secara individu dengan setiap pemain bagi menentukan tempoh rehat serta jadual kembali menjalani latihan dan pertandingan.
“Selaras dengan persetujuan itu, Rodrigo De Paul dan Lionel Messi dikecualikan daripada menyertai Perlawanan All-Star MLS 2026,” menurut kenyataan liga.
Messi dan De Paul beraksi bersama Argentina yang tewas 0-1 kepada Sepanyol selepas masa tambahan pada final Piala Dunia di New Jersey Isnin lalu.
Kapten Inter Miami itu sebelum ini tersenarai dalam skuad awal All-Star MLS, namun ketiadaannya menyaksikan tumpuan kini terarah kepada pemain Los Angeles FC, Son Heung-min, tonggak Vancouver Whitecaps, Thomas Muller dan kapten Amerika Syarikat, Tim Ream dari Charlotte FC.
Musim lalu, Messi dan bekas rakan sepasukannya di Inter Miami, Jordi Alba dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas menarik diri daripada Perlawanan All-Star pada saat akhir tanpa alasan kecederaan.
Pesuruhjaya MLS, Don Garber ketika itu mengakui keputusan berkenaan sukar dibuat memandangkan jadual padat Messi, malah memaklumkan polisi berkaitan penyertaan wajib dalam Perlawanan All-Star akan dikaji semula.
Bagaimanapun, pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas mendedahkan Messi ‘amat kecewa’ dengan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




