am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Majoriti 78 undi yang menjadi pemisah kemenangan Barisan Nasional (BN) menentang Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tiga tahun lalu, semestinya meletakkan kerusi itu antara tumpuan kali ini.
Ketika itu, BN mempertaruhkan isteri bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Isa Samad iaitu Datin Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Datuk Eddin Syazlee Shith dengan majoriti sebanyak 78 undi.
Bagaimanapun, PRN Negeri Sembilan kali ini berbeza dengan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, Datuk Ismail Lasim menentang calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah dan calon BERSATU, Mohd Zuhaimi Md Yusof.
Ketiga-tiga calon bakal berentap bagi memperoleh undi terbanyak daripada 13,671 pengundi berdaftar kawasan itu.
Berdasarkan percaturan di atas kertas, Ismail dilihat memiliki sedikit kelebihan berbanding dua pencabarnya.
Kerusi DUN Juasseh tidak asing bagi Ismail kerana pernah menyandang kerusi berkenaan dari Mei 2018 hingga Ogos 2023 sebelum berpindah ke DUN Senaling.
Ismail mengharapkan hubungan baik dengan pengundi dan masyarakat setempat yang dikenali selama ni, memberi sedikit kelebihan buat BN.
Berdasarkan perkembangan semasa, beliau menjangkakan undi masyarakat Melayu buat BN meningkat berbanding tiga tahun lalu.
“Kita mesti membezakan senario PRN 2023 dengan sekarang. Tiga tahun lalu, BN bertanding di bawah Kerajaan Perpaduan dan mungkin di situ kita kehilangan banyak undi.
“Mungkin pada waktu itu pengundi Melayu kurang selesa dengan PH yang turut dianggotai DAP. Kali ini apabila kita pergi secara solo, saya rasa kita akan dapat membawa perubahan dan undi Melayu boleh meningkat.
“Saya ini kiranya pulang ke kawasan lama dan ada sikit kelebihan sebab mengenali pengundi di DUN Juasseh ini. Keputusan mungkin berbeza kali ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Aidil melahirkan keyakinan PH dapat merampas DUN Juasseh daripada BN berdasarkan beberapa faktor, selain maklum balas menerusi kempen bersemuka bersama pengundi.
Beliau turut berpandangan, pengundi DUN Juasseh akan melihat faktor calon berbanding parti.
“Saya rasa kali ini mereka melihat kepada calon. Mereka mahu orang yang sentiasa ada bersama mereka. Macam keluarga, ayah kena ada selalu di rumah supaya keluarga itu terus berada dalam keadaan baik.
“Juasseh ini daerah yang makmur, daerah yang saya rasa perpaduan itu agak baik. Walaupun masyarakat Cina dan India di sini tak ramai, namun hubungan masyarakat tetap akrab.
“Rakyat perlu seorang pemimpin yang duduk di sini sebagai tempat mengadu dan tempatbergantung kasih,” katanya.
Mohd Aidil melihat perkara itu sebagai kelebihan yang ada padanya kerana pernah mentadbir di DUN Juasseh sebagai penyelaras PKR selama tiga tahun bermula 2020 sehingga 2023.
“Waktu itu zaman COVID-19, semua orang tak boleh keluar. Waktu itulah saya menyantuni semua rumah. Jadi, saya mengenali ramai penduduk di sini dan agak mudah bekerja.
“Disebabkan itu juga, saya rasa masyarakat di sini sedia menerima kalau ajak berborak dengan saya disebabkan saya jenis yang suka bersembang.
“Dia nak cerita masalah ke apa ke, saya layan. Bila dia suka, dia mengadu masalah itu agak mudah,” katanya.
Pembabitannya bersama golongan muda setempat seperti menjadi Pengerusi Pesatuan Basikal Kuala Pilah juga mampu menarik undi daripada pengundi muda.
Bagaimanapun, Mohd Aidil berkata, dari segi culaan dijalankan pihaknya, Ismail kini sedang mendahuluinya kira-kira 200 undi di DUN Juasseh setakat ini.
Disebabkan itu juga, beliau akan ‘turun’ ke seberapa banyak rumah sehingga tamat kempen PRN Negeri Sembilan, termasuk ‘menggempur’ kawasan kelabu atau kubu kuat milik BN di Juasseh.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, pengundi di Negeri Sembilan kali ini tidak akan membuat pilihan berdasarkan faktor parti atau calon semata-mata, sebaliknya melalui gabungan kedua-duanya.
Katanya, identiti parti masih menjadi asas utama, khususnya dalam kalangan penyokong tegar yang melihat pilihan raya sebagai persaingan antara PH, BN-PN dan BERSATU.
“Namun, faktor calon akan menjadi pembeza sangat penting, terutama di kawasan luar bandar, separa bandar dan kerusi marginal.
“Tinjauan awal saya mendapati pengundi lebih mengutamakan isu negeri dan setempat berbanding parti atau personaliti semata-mata.
“Maksudnya calon yang mudah ditemui, memahami masalah tempatan, mempunyai rekod khidmat dan dipercayai masyarakat berpotensi dapat menarik pengundi atas pagar.
“Faktor ini makin penting kerana 11 kerusi pada PRN 2023 dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi. Bagi kerusi seperti ini, calon yang kurang dikenali atau dianggap ‘calon payung terjun’ boleh menjejaskan parti, manakala calon tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat boleh membawa undi tambahan yang menentukan kemenangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




