mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: “Mujur ketika itu pelanggan tidak tercedera terkena pisau dan gunting yang dicampak dari sebuah pangsapuri ke kedai makan saya,” kata pemilik sebuah restoran makanan laut yang mahu dikenali sebagai Chia.
Dalam kejadian pada 7.20 malam Selasa lalu, dia yang sedang berniaga di kedainya di Pandan Indah, di sini, terkejut apabila mendengar suara pelanggan menjerit ketika sedang makan.
Chia, 47, berkata, selepas diperiksa dia terkejut apabila mendapati gunting menembusi kanopi di kedainya.
Menurutnya, pelanggan sedang makan berada hampir dengan tempat gunting itu jatuh dan mujur tidak terkenanya.
“Selain gunting, kira-kira lima atau enam pisau juga dilontar dari bangunan pangsapuri dan ditemui di tepi tasik sebelah restoran saya.
“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan pangsapuri sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, pihak pengurusan juga memaklumkan individu yang melakukan perbuatan itu juga sudah ditahan.
“Sebelum ini, pekerja warga asing selalu membuang sampah dari pangsapuri ini namun ini kali pertama pisau dan gunting dicampak ke bawah seperti ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




