Remaja cetus cemas, jet pintas pesawat

Remaja cetus cemas, jet pintas pesawat

Manchester: Polis sedang menyiasat ancaman palsu yang dibuat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terhadap sebuah pesawat yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Manchester, baru-baru ini, lapor BBC.

Perkhidmatan kawalan trafik udara United Kingdom (UK), NATS, menerima ancaman itu kira-kira 6 petang waktu tempatan pada Jumaat.

Susulan itu, polis kemudian bertindak balas bersama Tentera Udara Diraja (RAF) dan pihak berkuasa lapangan terbang.

Kementerian Pertahanan mengesahkan, pesawat pejuang RAF Typhoon berlepas dari Lincolnshire pada Jumaat, untuk memintas pesawat Qatar Airways itu susulan ancaman berkenaan.

Polis Greater Manchester turut mengesahkan, pesawat itu mendarat dengan selamat dan tiada ancaman terhadap penumpang atau anak kapal.

Bagaimanapun, remaja dari Bolton itu yang tidak berada di dalam pesawat berkenaan dan sudah dikenal pasti.

Polis berkata, remaja itu kini membantu pegawai dalam siasatan.

Ketua Inspektor Gary Homa berkata, tingkah laku seperti itu sama sekali tidak boleh diterima.

“Keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan dan setiap laporan seperti itu dipandang amat serius.

“Panggilan ancaman palsu boleh menyebabkan gangguan besar, mengalihkan sumber penting perkhidmatan kecemasan dan menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu kepada penumpang, anak kapal serta orang awam,” katanya.

Beliau berkata, insiden itu berakhir dengan selamat, namun membuat laporan palsu bukan satu gurauan dan boleh membawa akibat yang serius.

Katanya, polis akan sentiasa menyiasat insiden seperti itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas jika kesalahan dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top