am@hmetro.com.my
Temerloh: Suasana pilu menyelubungi dua lokasi upacara pengebumian apabila enam mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bentong-Karak selamat disemadikan dalam istiadat mengikut agama masing-masing, hari ini.
Tiga mangsa iaitu V Mugilan, 25, K Dinesvaran, 21, dan S K Kiisyen, 16, dibawa ke Mentakab Hindu Crematorium untuk upacara pembakaran mayat yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan.
Manakala tiga lagi mangsa, K Alaganathan, 20, A Kanabati Raja, 18, dan M Paranthaman, 15, pula disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak.
Terdahulu, keenam-enam mangsa terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dinaiki mereka yang dipercayai bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bentong-Karak.
Di Mentakab Hindu Crematorium, ahli keluarga dilihat berkumpul sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir, manakala di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak, ratusan ahli keluarga dan penduduk setempat hadir mengiringi pengebumian tiga lagi mangsa.
Suasana bertukar sayu apabila tangisan ahli keluarga mengiringi setiap proses penghormatan terakhir sebelum jasad mangsa disemadikan mengikut adat istiadat agama Hindu.
Tragedi yang meragut enam nyawa itu menjadi antara kemalangan paling menyayat hati di daerah ini tahun ini dan mengundang simpati masyarakat yang menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar keluarga mangsa terus tabah menghadapi dugaan tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




