SOP keselamatan konsert wajib ada – Rohit Rampal

SOP keselamatan konsert wajib ada – Rohit Rampal

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Insiden vokalis kumpulan Bittersweet, Fizan, yang terjatuh dari pentas ketika menjayakan konsert Indiescovery 2026 baru-baru ini disifatkan sebagai satu kecuaian yang tidak disengajakan dan bukan disebabkan kelemahan teknikal mahupun reka bentuk pentas.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Group yang juga penganjur konsert dari Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, lokasi persembahan terbabit berada dalam keadaan baik dan persiapan yang dilakukan oleh pihak penganjur konsert berkenaan adalah sempurna.

“Saya fikir apa yang berlaku kepada Fizan memang bukan disengajakan dan bukan berpunca daripada ‘setup’ pentas itu. Lokasi acara itu memang sangat baik dan saya lihat persiapan mereka sempurna, namun sesekali kesilapan boleh berlaku. Jadi, saya berpandangan ia adalah kecuaian yang tidak disengajakan,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai dakwaan sama ada insiden terbabit berlaku akibat kurangnya sesi raptai, Rohit berkata, sesi ‘dry run’ adalah proses yang paling penting buat semua artis serta pihak teknikal yang terlibat, sama ada dilakukan sehari sebelum mahupun pada hari konsert itu berlangsung.

Bagaimanapun, Rohit tidak menolak faktor kemanusiaan serta kehangatan suasana persembahan yang boleh menjadi punca kejadian berkenaan berlaku secara tiba-tiba.

“Memang paling penting untuk semua artis dan pasukan teknikal menjalani sesi ‘dry run’ iaitu raptai sehari sebelum atau pada hari persembahan. Namun, kita hanya manusia biasa dan tidak sempurna. Jadi, mungkin kadang-kadang dalam kehangatan suasana konsert itu, perkara sedemikian boleh berlaku.

“Sudah tentu sesebuah raptai itu memang keperluan, di samping pemantauan rapi daripada pasukan produksi bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Menyentuh soal aspek keselamatan pentas, Rohit menegaskan keselamatan terhadap pentas mahupun kawalan penonton bagi semua jenis konsert tanpa mengira genre adalah satu keutamaan.

“Bukan sahaja penganjur, tetapi pengurusan lokasi dan semua yang terlibat perlu bekerjasama bagi menjayakan sesebuah konsert.

“Pelan program bersama dokumen SOP yang lengkap adalah sangat penting dalam penganjuran mana-mana festival, konsert, mahupun gig, tidak kira sama ada skala besar atau kecil. Dokumen SOP ini memastikan kita sentiasa tahu apa yang berlaku pada setiap masa,” kongsinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top