syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mengesahkan kehadiran komuniti Rohingya di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga sebelum ini memberi kesan kepada mata pencarian nelayan tempatan.
Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, pemindahan ratusan etnik Rohingya dari penempatan itu disifatkan suatu kelegaan kepada penduduk setempat khususnya golongan nelayan.
“Pertama sekali, memang ia memberi kesan kepada penduduk tempatan terutama nelayan apabila mereka (Rohingya) menceroboh kawasan laut dan menjalankan aktiviti menangkap ikan, ia menjejaskan mata pencarian masyarakat nelayan.
“Mereka (Rohingya) juga didakwa kurang memahami undang-undang dan peraturan menyebabkan aktiviti yang dilakukan memberi kesan kepada masyarakat setempat,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT Ke-41 di sini, malam tadi.
Mesyuarat dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berharap kawasan berkenaan dapat dipulihkan semula dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan yang bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.
Media sebelum ini melaporkan penduduk di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga menarik nafas lega selepas ratusan etnik Rohingya yang menyewa di kawasan itu dipindahkan oleh pihak berkuasa pada malam Isnin.
Mereka dibawa menaiki tiga bas yang dikawal ketat polis ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Tinjauan di perkampungan berkenaan selepas itu mendapati beberapa unit rumah sewa yang sebelum ini didiami komuniti terbabit kosong sepenuhnya, sekali gus menjadikan kawasan itu lengang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




