FIFA mahu jual pegangan Piala Dunia

FIFA mahu jual pegangan Piala Dunia

Paris: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) merancang menjual pegangan minoriti dalam operasi komersial Piala Dunia dan kejohanan di bawah naungannya menerusi penubuhan subsidiari separa swasta baharu yang dijangka mengumpul dana sebanyak AS$4.2 bilion (RM17.7 bilion).

Badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan ia akan mengekalkan pegangan majoriti dalam syarikat baharu dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE), namun membuka ruang kepada pelabur jangka panjang memiliki kepentingan minoriti tanpa kuasa mengawal syarikat berkenaan.

Pengumuman itu dibuat selepas akhbar Britain, The Times dan Financial Times, melaporkan rancangan berkenaan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada dua sumber dalaman.

Laporan itu turut mendakwa Presiden FIFA, Gianni Infantino, 56, berpotensi mendapat manfaat daripada penstrukturan itu dengan dilantik sebagai pesuruhjaya FFE selepas penggalnya dijangka berakhir pada 2031, namun FIFA menafikan perkara itu pernah dibincangkan.

Menurut laporan sama, FIFA sudah memulakan perbincangan dengan penasihat kewangan serta beberapa pelabur berpotensi, termasuk syarikat pelaburan Thrive Capital milik Joshua Kushner dan sebuah unit bank gergasi Amerika Syarikat, JP Morgan Chase.

Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter, yang pernah digantung daripada bola sepak, mengkritik keras rancangan itu dengan mendakwa hubungan rapat antara Infantino dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kini memasuki dimensi kewangan.

“Hubungan rapat antara Presiden FIFA dan Presiden Amerika Syarikat kini memasuki dimensi kewangan yang amat merosakkan bola sepak. Tiada siapa berhak menjual sukan kita,” katanya menerusi media sosial.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) turut mengecam cadangan itu dan menyifatkan ia melangkaui batas yang tidak sepatutnya dilakukan badan pentadbir bola sepak.

“Ini melangkaui sempadan yang tidak sepatutnya dilintasi institusi pentadbiran bola sepak.

“Jiwa dan tadbir urus bola sepak bukan aset untuk diperdagangkan, lebih-lebih lagi tanpa ketelusan mengenai siapa yang akan mendapat keuntungan kewangan. Bola sepak bukan milik FIFA untuk dijual,” kata UEFA.

Cadangan itu bagaimanapun masih memerlukan kelulusan Majlis FIFA yang dianggotai 38 ahli serta majoriti daripada 211 persatuan bola sepak kebangsaan (MA).

FIFA menegaskan ia akan terus mengawal sepenuhnya FFE, termasuk kuasa eksklusif terhadap pentadbiran bola sepak, penganjuran pertandingan, kalendar perlawanan serta semua keputusan berkaitan sukan dan peraturan.

FFE dianggarkan mempunyai nilai ekuiti awal sekitar AS$20 bilion (RM84.4 bilion), manakala setiap daripada 211 ahli gabungan FIFA akan diberi peluang membuat pelaburan sekali sahaja bernilai AS$20 juta (RM84.4 juta).

Menurut FIFA, pelaburan itu bersama program pembangunan sedia ada berpotensi meningkatkan dana pembangunan kepada lebih AS$10 bilion (RM42.2 bilion) bagi tempoh empat tahun akan datang.

Sementara itu, Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, yang juga penyokong Everton, turut mengkritik cadangan itu dengan menyifatkan bola sepak bukan produk untuk dijual.

“Bola sepak bukan milik pelabur. Ia milik penyokong yang memenuhi stadium setiap minggu. Piala Dunia bukan produk komersial, tetapi kejohanan terbesar dunia dan tidak pernah menjadi hak sesiapa untuk dijual.

“Walau bagaimana pun ia dihias, apabila sebahagian daripadanya dijual, itu bermakna anda sudah mengkhianati bola sepak. Bola sepak sentiasa menjadi milik penyokong dan akan kekal begitu,” katanya.

Pertimbang tambah kepada 64 pasukanPada Jun lalu, menjelang Piala Dunia 2026, FIFA mengunjurkan hasil rekod melebihi €7 bilion (RM35.2 bilion) selepas kejohanan itu buat pertama kali disertai 48 pasukan.

Infantino sebelum ini turut mengesahkan FIFA pernah mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan memperluaskan Piala Dunia 2030 kepada 64 pasukan.

Menurut The Times, seorang pegawai kanan bola sepak yang enggan dikenali menyifatkan rancangan penubuhan FFE sebagai ‘berpotensi jauh lebih buruk daripada Liga Super Eropah’ kerana kesannya boleh dirasai di semua peringkat bola sepak dunia.

Sumber lain pula mendakwa cadangan itu berisiko mewujudkan konflik kepentingan yang tidak boleh diterima melibatkan FIFA dan Infantino.

Pada 2019, jawatankuasa pemegang taruh FIFA pernah menolak cadangan pelaburan swasta bernilai AS$25 bilion (RM105.5 bilion) bagi memperluaskan Piala Dunia Kelab, walaupun kejohanan itu akhirnya berkembang daripada tujuh kepada 32 pasukan bermula edisi 2025.

Laporan The Times turut menjangkakan penubuhan FFE boleh meningkatkan tekanan supaya Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab diperbesarkan lagi atau dianjurkan dengan lebih kerap berbanding format empat tahun sekali ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top