'Cukuplah suami orang terakhir jadi mangsa langgar lembu, jangan ada yang lain lepas ini…'

'Cukuplah suami orang terakhir jadi mangsa langgar lembu, jangan ada yang lain lepas ini…'

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Perjalanan suami isteri untuk berniaga bertukar tragedi apabila lelaki itu dilanggar seekor lembu ketika menunggang motosikal berhampiran Masjid An Na’im, Durian Tunggal, di sini, dua minggu lalu.

Isterinya, Juriana Mohamed Yoonus, 31, berkata, kejadian berlaku jam 4.30 pagi ketika mereka dalam perjalanan ke kedai niaga di Taman Scientex 2, Durian Tunggal dari rumah mereka di Kampung Pulau, Durian Tunggal.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya, Mohd Haffis Abdullah Saidi, 32, menunggang motosikal jenis Skuter ADV manakala dia memandu kereta.

“Apabila tiba di kawasan berhampiran Masjid An Na’im, saya nampak terdapat lebih lima lembu berada di tepi jalan.

“Namun secara tiba-tiba seekor lembu menerpa ke arah suami menyebabkan dia terjatuh sebelum terbaring,” katanya ketika ditemui di Durian Tunggal di sini, hari ini.

Juriana berkata, lebih menyedihkan apabila suaminya terpaksa dibiarkan dalam keadaan berkenaan sebelum mendapat bantuan kerana kawasan itu agak sunyi.

Menurutnya, akibat kejadian itu suaminya mengalami patah pergelangan tangan kiri dan patah tulang tunjang selain menerima lebih 45 jahitan termasuk dua jahitan di bahagian dagu.

Katanya, sejak kejadian itu, dia trauma dan mengelak untuk melalui jalan terbabit lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku di depan mata.

“Selalu kami berdua nampak lembu berkeliaran di tepi jalan namun tak sangka kali ini haiwan itu datang ‘menyerang’, mungkin terkejut dengan cahaya kenderaan.

“Sekarang saya seperti berjalan sebelah kaki kerana banyak perkara perlu dilakukan seorang diri selain berulang-alik ke hospital setiap hari,” katanya.

Juriana berkata, sejak berkahwin selama 11 tahun lalu, suaminya tidak pernah mengalami masalah kesihatan namun sehingga sekarang masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta akibat kecederaan dialami.

Dia berharap pihak berkaitan termasuk pemilik lembu lebih prihatin dan bertanggungjawab dengan tidak membiarkan ternakan berkeliaran sehingga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Cukuplah suami saya orang terakhir jadi mangsa langgar lembu, janganlah ada yang lain selepas ini,” katanya.

Menurutnya, dia turut berharap bantuan kemudahan katil mudah alih dan kerusi roda yang dipohon dapat dipertimbangkan bagi kegunaan suaminya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top