mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Suami mengalami sesak nafas sebelum muntah-muntah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang pada Isnin lalu,” kata Samhanim Noordin, isteri kepada Acid, bekas pemain dram kumpulan Ekamatra.
Hanim berkata demikian sebagai mengulas kesihatan terkini suaminya yang kembali berdepan ujian kesihatan.
Acid atau nama sebenarnya, Rashib Ibrahim, 60, sebelum ini pernah menghidap kanser tisu sarcoma dan menjalani pembedahan pada November 2018.
Menurut Hanim, penyakit kanser suaminya semakin beransur pulih, tetapi kini dia menghidap diabetes serius kerana bacaannya sekitar 20 hingga 22 mmol/L.
“Doktor sudah buat pemeriksaan paru-paru, darah dan buah pinggang, Alhamdulillah tak ada masalah, cuma masalah diabetes saja yang menganggu tubuhnya.
“Pada masa sama, doktor juga dapati asid dalam badan dia pun tinggi. Suami pun alami sakit kaki kiri yang kuat. Dua hari dia ditempatkan di zon merah dan hanya tengah malam tadi baru masuk wad,” katanya.
Menurutnya, perkara yang merisaukan suaminya ialah tidak dapat mencari pendapatan kerana hanya bergantung pada aktiviti busking di beberapa lokasi.
“Sudah tiga minggu dia berehat kerana masalah kesihatan ini. Dia busking dekat Rumah Atok, Sentul dan Salai Master, Damansara. Tapi bila sakit, dah dua minggu dia tak busking di sana.
“Bila tak bekerja, banyak benda yang kami sangkut seperti sewa rumah. Tadi pun saya ada telefon Zakat nak cuba mohon untuk asnaf. Nak bayar sewa rumah apa semua.
“Nak harap anak-anak pula, memang ada yang bekerja, tapi dua orang itu sedang cari kerja baru sebab syarikat mereka bekerja nak tutup, manakala anak sulun pula dah kahwin dan ada keluarga,” katanya.
Hanim berkata, situasi ini membuatkan suaminya tertekan sehingga menangis kerana tiada sumber pendapatan tetap.
Orang ramai yang bersimpati dan mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 164221316823 atas nama Rashib Ibrahim.
Pasangan ini tinggal bersama empat anak, manakala anak sulung yang sudah berkahwin kini tinggal berasingan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




