am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau Nicky Liow, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta selepas pendakwaan menarik balik kes berkenaan.
Peguamnya, Datuk Rajpal Singh, mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas Nicky Liow menyelesaikan tunggakan cukai sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Beliau diberikan DNAA. Ia diberikan pada 2022,” katanya ketika dihubungi hari ini.
DNAA bermaksud seseorang tertuduh dilepaskan tanpa disabitkan kesalahan, namun ia bukan satu pembebasan mutlak. Pendakwaan masih boleh menghidupkan semula pertuduhan pada masa hadapan jika terdapat bukti atau keadaan baharu yang mewajarkannya.
Nicky Liow sebagai pengarah syarikat didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan memiliki wang yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara 2016 hingga 2021.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah wang yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pada 9 April 2021, Nicky Liow dan adiknya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang, yang mana dia didakwa secara *in absentia* (tanpa kehadiran) kerana ketika itu masih menjadi buruan.
Bagaimanapun, dia menyerah diri kepada polis secara sukarela pada 11 April 2022 sebelum didakwa dengan 26 pertuduhan pengubahan wang haram pada keesokan harinya.
Pada 7 Julai tahun yang sama, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan 14 tertuduh, termasuk dua adik Liow, daripada pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang.
Keputusan itu dibuat selepas AGC menerima representasi daripada semua perayu yang memohon supaya mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan berkenaan.
Pada 24 Julai 2023, adik Nicky Liow, Liow Wei Kin, turut dibebaskan daripada pertuduhan mengelak cukai dan pengubahan wang haram selepas membayar RM4.147 juta yang merangkumi tunggakan cukai, penalti khas, denda dan kompaun bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Nicky Liow, yang juga pengasas Winner Dynasty Group, diburu polis berhubung sindiket Macau Scam selepas 68 anggota sindiket itu ditahan dalam operasi “Op Pelican 3.0” pada Mac 2021.
Pada 26 April tahun sama, Istana Pahang menarik balik Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Nicky Liow.
Baru-baru ini, dia menjadi perhatian apabila sekeping gambar memaparkannya memakai baju PKR bersama Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tular di media sosial sehingga mencetuskan spekulasi mengenai status kes mahkamahnya.
Pada 26 Julai lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, menafikan Nicky Liow adalah ahli parti itu dengan memaklumkan tiada rekod menunjukkan dia pernah memohon keahlian.
Nicky Liow kemudian menjelaskan dalam sidang media bahawa baju Angkatan Muda Keadilan yang dipakainya dibeli pada satu acara kebajikan dan tidak melambangkan sebarang kaitan atau keahlian dengan parti berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




