Glasgow: Australia menutup kempen terbaik dalam sejarah Sukan Komanwel di kolam renang dengan meraih sembilan lagi pingat emas semalam, sekali gus menjadikan keseluruhan 37 emas.
Pada hari terakhir acara renang, Australia melengkapkan penguasaan luar biasa apabila memenangi 37 daripada 57 acara yang dipertandingkan.
“Ia sesuatu yang hebat. Setiap tahun pasukan Australia seolah-olah mencapai tahap lebih tinggi,” kata juara 50m gaya bebas, Cameron McEvoy selepas menambah gangsa dalam acara 50m kupu-kupu.
“Saya tidak nampak kami akan perlahan dalam masa terdekat. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan terus menikmati kejayaan.”
Sementara itu Sam Short melengkapkan hatrik gelaran acara jarak jauh apabila menjuarai 1,500m, sekali gus menambah koleksi emas selepas memenangi 400m dan 800m.
Kyle Chalmers dan Ben Armbruster berkongsi emas acara 50m kupu-kupu lelaki selepas masing-masing mencatat masa 22.73 saat, manakala McEvoy melengkapkan kedudukan 1-2-3 Australia.
Kai Taylor menjuarai 200m gaya bebas, Brittany Castelluzzo mengungguli 200m kupu-kupu wanita, manakala Meg Harris mengetuai satu lagi kedudukan 1-2-3 Australia dalam acara 50m gaya bebas wanita.
Prestasi cemerlang Australia diakhiri dengan memenangi kedua-dua acara berganti-ganti 4x100m rampaian lelaki dan wanita.
Pieter Coetze dari Afrika Selatan menjadi antara beberapa perenang bukan Australia yang menyerlah apabila melengkapkan penguasaan acara kuak lentang lelaki dengan emas 100m menerusi rekod baharu Komanwel dan Afrika, hanya 0.17s di belakang rekod dunia.
Coetze sebelum itu turut memenangi acara 50m dan 200m kuak lentang dengan rekod temasya.
“Itulah sasaran saya dan saya percaya mampu melakukannya. Berjaya mencapainya memberikan kepuasan yang besar.
“Saya tahu kemampuan tubuh saya, jadi saya hanya bertenang dan membiarkannya berlaku. Setakat ini ia tidak pernah mengecewakan saya,” kata atlet berusia 22 tahun itu.
Coetze turut membantu Afrika Selatan meraih gangsa dalam acara berganti-ganti rampaian, dengan Chad le Clos mencipta sejarah sebagai atlet paling banyak memenangi pingat Sukan Komanwel.
Pingat ke-21 Le Clos menjadikannya atlet paling berjaya dalam sejarah temasya itu.
Angharad Evans menghadiahkan sorakan paling gemuruh kepada tuan rumah apabila meraih emas kedua Scotland menerusi acara 200m kuak dada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




