Bulan Henti Bicara langkah pertama Azar buka lembaran baharu

Bulan Henti Bicara langkah pertama Azar buka lembaran baharu

am@hmetro.com.my

SELEPAS dilanda kontroversi, pelakon, Azar Azmi yang menyepikan diri kira-kira tujuh tahun lalu mahu bangkit dan kembali merancakkan industri seni lakonan tanah air yang menjadi minatnya sejak dulu.

Malah, Azar sangat bersyukur kerana hasratnya untuk membuat ‘comeback’ mendapat sokongan bukan sahaja daripada peminat, sekali gus penerbit dan pengarah.

Azar atau nama sebenarnya, Azar Ameerah Azmi, 37, mengakui tidak menyangka masih menerima tawaran berlakon selepas namanya terpalit dengan kontroversi kes jenayah yang diperkatakan ramai itu.

Malah, drama Bulan Henti Bicara arahan Eyra Rahman juga adalah naskhah pertama lakonannya selepas tujuh tahun menghilang.

“Sejujurnya, dari awal penggambaran drama Bulan Henti Bicara sehingga selesai memang bukan perkara mudah.

“Penerbit dan pengarah, Kak Eyra dan pasukan produksi berjaya meyakinkan saya untuk melakonkan watak yang berat dalam drama itu,” katanya, baru-baru ini.

Mengenai tawaran berlakon pula, kata Azar, dia hanya menyerahkan perkara itu kepada pengurusnya.

“Saya hanya fokus satu kerja dalam satu masa. Kalau orang tanya banyak tak dapat tawaran berlakon sekarang? Sebenarnya saya tak nak ambil tahu projek drama apa selepas ini.

“Saya juga sudah beri tanggungjawab itu kepada pengurus kerana dia tahu cara saya bekerja macam mana dan karakter yang sesuai.

“Sebab karier seni saya memang dia (pengurus) yang uruskan sejak hari pertama saya dalam industri seni dan sampai hari ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia menerima tawaran berlakon dalam drama Bulan Henti Bicara itu kerana soal bayaran, Azar menafikannya.

“Bukan sebab bayaran. Faktor utama saya terima tawaran untuk berlakon dalam drama ini kerana ‘passion’ (minat mendalam).

“Dari dulu lagi, bila saya melangkah masuk dalam industri seni, saya berpegang kepada ‘passion’ kerana kalau kita bekerja tiada ‘passion’, ia tidak akan bertahan lama kerana kerjaya kita tidak sama dengan mereka yang bekerja makan gaji dan ‘crowds’ kita pun berbeza,” katanya.

Mengulas dakwaan ada produksi yang sanggup melabur wang yang banyak untuk mengambilnya berlakon pula, Azar juga tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Saya tak pernah dengar pun dakwaan itu? Apa pun, projek drama Bulan Henti Bicara ini memang saya yang putuskan untuk menerimanya.

“Sebab saya tahu karakter dalam drama itu memang berat, tapi saya sukakan cabaran itu. Ia bukan tugas mudah, tapi penerbit dan pengarah serta pasukan produksi yang meyakinkan saya untuk menggalas watak itu,” katanya.

Sebelum ini, Azar dikenali menerusi drama lakonannya yang meninggalkan impak seperti Nur 2, Isteri Misteri, Red Velvet dan Suri Hati Mr Pilot.

Berasa diri seperti diperhatikan orang

Azar turut mengakui perubahan dirinya sekarang yang tidak lagi sama seperti dahulu.

“Kalau dulu saya jumpa orang, saya boleh ucap ‘hi’ tapi sekarang tidak lagi. Saya bukan ‘reserve’kan diri, tapi semuanya berlaku secara automatik.

“Saya tak cakap perkara itu berlaku untuk kecilkan ‘circle’, tapi keadaan itu yang berlaku,” katanya.

Beralih kesihatan mentalnya pula, kata Azar, setakat ini dia tiada simptom ‘anxiety’ dan sebagainya.

“Saya tidak sampai tahap untuk berjumpa doktor sebab setakat ini keadaan saya semakin baik.

“Mungkin sebab situasi sekarang berbeza kerana hampir tujuh tahun saya tidak berada dalam ‘spotlight’ dan saya berasa macam semua mata tengok saya sahaja.

“Kadang-kadang saya terfkir ‘aku ada buat salah ke? Baju aku kotor ke? kerana saya berasa macam seolah-olah ada orang perhatikan bila di luar rumah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Azar, dia perlu menguatkan diri berdepan orang ramai dan kembali ke set penggambaran demi mencari rezeki buat dua anaknya berusia tiga dan empat tahun.

“Kalau saya tak kuat siapa yang nak beli susu anak-anak? Selepas ini, anak-anak nak masuk sekolah pula, jadi macam mana saya nak siapkan kelengkapan sekolah kalau saya tak kuatkan diri untuk kembali bekerja?” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top