PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencipta sejarah apabila menjadi kementerian pertama di Malaysia yang melaksanakan komitmen perolehan berimpak sosial menerusi kerangka Perolehan Impak Sosial Malaysia (PRISMA).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah berkenaan disokong oleh penetapan sasaran nilai perolehan berimpak sosial kementerian yang ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM300,000 pada tahun ini, berbanding RM100,000 yang direkodkan pada tahun lalu.
“Perusahaan sosial perlu dibangunkan berasaskan model perniagaan yang mampan, dan bukan bergantung kepada simpati atau derma semata-mata.
“Perusahaan sosial perlu kekal berpegang kepada misi sosial mereka, tetapi pada masa yang sama mempunyai model perniagaan yang lestari bagi membolehkan mereka berkembang dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) 2026 di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 10 organisasi menjadi kumpulan perintis yang menandatangani PRISMA Social Pledge bagi mengarusperdanakan amalan perolehan berimpak sosial (social impact procurement) dalam organisasi masing-masing.

Steven (tengah) merasmikan Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) 2026 pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai status penarafan, Steven memaklumkan, sehingga kini sebanyak 649 perusahaan sosial telah menerima penarafan KUSKOP.
Jumlah itu merangkumi 328 Perusahaan Sosial Tunas, 253 Perusahaan Sosial Asas dan 68 Perusahaan Sosial Akreditasi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian itu masih jauh daripada sasaran Malaysia Social Entrepreneurship Blueprint 2030 (SEMy2030) yang menetapkan sasaran 5,000 perusahaan sosial menjelang tahun 2026.
Sehubungan itu, usaha memperkukuh ekosistem perusahaan sosial perlu dipergiatkan secara berterusan.
“Bagi merancakkan penyertaan syarikat mendapatkan penarafan, KUSKOP menerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mengumumkan penanggungan sepenuhnya yuran penarafan bermula 1 Ogos hingga 17 September 2026 sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya.
Menerusi inisiatif ini, jelasnya, INSKEN akan menanggung yuran penarafan Perusahaan Sosial Asas sebanyak RM50 serta Perusahaan Sosial Akreditasi sebanyak RM300.
Di samping itu, katanya, syarikat yang berjaya memperoleh status Perusahaan Sosial Akreditasi turut layak menikmati pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027.
“Dari segi sokongan kewangan, KUSKOP menyediakan dana hampir RM20 juta khusus untuk pembangunan perusahaan sosial melalui pelbagai skim.
“Ini termasuk Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial SME Bank yang menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 pada kadar faedah serendah tiga peratus, serta Program Penggalakan Koperasi sebagai Perusahaan Sosial (SERASI) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya.
Steven menambah, pendekatan PRISMA bertujuan menggalakkan agensi kerajaan dan syarikat swasta mengambil kira impak sosial dalam aktiviti perolehan, seterusnya menyokong produk dan perkhidmatan perusahaan sosial tempatan.
KUSKOP akan terus bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu sektor ini mengatasi pelbagai cabaran termasuk penarafan, pembiayaan, akses pasaran dan penskalaan perniagaan bagi memastikan sektor tersebut terus berkembang sebagai rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.



