PRN N9: Anwar mahu rakyat nilai pemimpin berdasarkan amanah, bukan janji

PRN N9: Anwar mahu rakyat nilai pemimpin berdasarkan amanah, bukan janji

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Negeri Sembilan menilai kepimpinan berdasarkan kemampuan melaksanakan amanah dan tindakan, bukan sekadar janji atau retorik ketika berkempen.

Perdana Menteri berkata, ukuran sebenar sesebuah pentadbiran bukan berdasarkan kenyataan atau manifesto semata-mata, sebaliknya keupayaan melaksanakan perkara yang dijanjikan kepada rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perkara itu selari dengan prinsip Islam yang menuntut seseorang bukan hanya menyeru kepada kebaikan, tetapi membuktikannya melalui amal dan tindakan.

“Dalam kegiatan kita dalam tata negara ini, borang ukur bukan jaminan, bukan kenyataan, bukan manifesto, tetapi keupayaan kita mengamalkan.

“Sebab itu bila kita diberikan amanah, kita lihat beberapa kegiatan. Kita bukan hanya bicara soal Islam, tetapi bagaimana kita melaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Munajat Perdana bersama penduduk Linggi di Dewan Orang Ramai Linggi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam ucapan itu Anwar turut menyentuh kepimpinan Aminuddin yang disifatkannya sebagai pemimpin amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Beliau berkata, pemimpin yang mempunyai integriti seperti Aminuddin perlu terus diberi sokongan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau ada pemimpin yang amanah, yang baik, yang tidak rasuah kita tolak, saya tidak tahu apa sebabnya,” katanya.

Anwar menegaskan akan terus menyokong Aminuddin untuk terus menerajui Negeri Sembilan kerana rekod pentadbiran yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan pemimpin yang diberi kuasa perlu memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan baik kerana kegagalan menjaga amanah boleh menyebabkan rakyat tidak mendapat manfaat.

Katanya, perkara itu juga menjadi asas kepada pendekatan kerajaan dalam menangani isu berkaitan institusi dan badan berkepentingan rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top