Kuala Lumpur : Penyanyi Adira Suhaimi masih belum sedia berkongsi mengenai hubungan dengan jejaka tinggi lampai berambut panjang yang sering ‘muncul’ dalam hantaran Instagram (IG).
Baru-baru ini, jejaka ‘misteri’ itu sekali lagi mencuri perhatian apabila dilihat hadir ke acara sukan sekolah anak penyanyi lagu Sayang Orang Kita itu.
Menurut Adira, dia enggan berkongsi apa-apa berkaitan hubungannya selagi kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, belum selesai.
“Saya masih belum terbuka untuk bercakap mengenainya kerana kes mahkamah saya pun belum selesai. Jadi, saya lebih selesa berdiam diri.
“Insya-Allah, apabila semuanya sudah selesai, barulah saya boleh berkongsi cerita lain. Buat masa ini, fokus saya adalah untuk menyelesaikan urusan mahkamah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 di Istana Budaya di sini, semalam.
Mengulas keprihatinan warga maya yang bersimpati dengan nasibnya selepas bekas suami berkahwin walaupun kes mahkamah masih berlangsung, Adira mengakui dirinya berada dalam keadaan baik.
“Saya okay saja, Alhamdulillah. Sebenarnya kekuatan ini datang daripada doa rakan-rakan dan pengikut.
“Saya pun tidak banyak yang boleh dilakukan, hanya menunggu kes selesai. Selain itu, saya okay saja.
“Saya juga bersyukur kerana dikelilingi orang yang baik-baik serta anak-anak. Semua kata-kata semangat yang diberikan orang sekeliling membuatkan saya lebih kuat dan bersabar,” katanya.
Jun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menolak permohonan Adnan untuk menarik balik kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkannya terhadap Adira.
Adnan memfailkan kes berkenaan kerana mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh idah selepas perceraian mereka.
Bagaimanapun, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi dilaporkan tidak mengesahkan dakwaan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




