Lelaki fitnah Mufti Perlis kena bayar RM250,000

Lelaki fitnah Mufti Perlis kena bayar RM250,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pengguna Facebook membayar ganti rugi RM250,000 kepada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas mendapati satu daripada empat hantaran dimuat naik bersifat memfitnah.

Ia berhubung beberapa hantaran Facebook yang didakwa mengaitkan Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Maza dan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Pesuruhjaya Kehakiman, Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman fitnah yang difailkannya selaku plaintif terhadap defendan, Mohd. Nawawi Abdul Razak, 39.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM50,000 selain faedah lima peratus setahun ke atas ganti rugi secara global yang ditetapkan sehingga penyelesaian penuh.

Dalam penghakimannya, Rihaida berkata, plaintif berjaya membuktikan dua elemen asas tindakan fitnah iaitu pernyataan berkenaan merujuk kepada Mohd. Asri dan telah diterbitkan kepada pihak ketiga.

“Mahkamah mendapati bahawa kesemua pernyataan, daripada fitnah yang pertama hingga keempat, adalah merujuk kepada plaintif.

“Mahkamah juga mendapati pernyataan-pernyataan tersebut telah diterbitkan dan disampaikan kepada pihak ketiga. Oleh itu, kedua-dua elemen ini telah berjaya dibuktikan.

“Oleh itu, mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan fitnah pertama ini memenuhi elemen-elemen bagi tort fitnah,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan berhubung pernyataan fitnah kedua hingga keempat selepas mendapati ia tidak berjaya dibuktikan serta gagal memenuhi elemen tort fitnah, sekali gus hanya membenarkan sebahagian tuntutan plaintif.

“Di atas alasan-alasan tersebut, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif sebahagiannya, iaitu berhubung pernyataan fitnah pertama, dan menolak tuntutan berhubung pernyataan fitnah kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif supaya Mohd. Nawawi membuat permohonan maaf melalui akaun sama yang digunakan untuk menyiarkan pernyataan fitnah berkenaan selama tujuh hari bermula tarikh penghakiman.

Selain itu, defendan juga diperintah untuk memadamkan hantaran berkenaan daripada akaun Facebook tersebut serta dihalang daripada menerbitkan semula pernyataan fitnah itu melalui akaun yang sama atau pihak ketiga yang lain.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri bagi pihak Mohd Asri manakala Mohd Nawawi diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak.

Pada 10 Oktober 2024, Mohd. Asri memfailkan saman terhadap pemilik akaun Facebook itu dengan menuntut ganti rugi RM10 juta kerana memfitnah Mufti Perlis itu mempunyai kaitan dengan GISBH.

Ia berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan pada 20 September tahun sama, dalam bentuk komen bergambar, dari satu hantaran media sosial milik individu lain, dikenali ‘Kayrollz Nasri’ yang didakwa merosakkan imejnya sebagai Mufti Perlis. – UTUSAN

Scroll to Top