'Isteri terpaksa batalkan hasrat iringi pelajar ke pertandingan memanah'

'Isteri terpaksa batalkan hasrat iringi pelajar ke pertandingan memanah'

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Wanita yang dirempuh penunggang Yamaha RXZ di simpang empat Jalan Buluh Gading, dekat sini, hari ini sepatutnya membawa pelajar sebuah sekolah menengah menyertai pertandingan memanah tradisional di Johor, September depan.

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dilupakan selepas Syafirah Salim, 36, yang juga jurulatih memanah tradisional Terengganu cedera akibat kemalangan berkenaan.

Suaminya, Talhah Mahmud, 61, berkata, isterinya mungkin tidak dapat bersama pasukannya kerana masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, isterinya mula menyertai sukan memanah sejak enam tahun lalu selepas sering mengikutinya melakukan aktiviti sukan memanah.

“Asalnya, saya yang bermain sukan memanah tradisional namun apabila dia (isteri) sering ikut, mula timbul minat untuk dia turut sama menyertai sukan berkenaan.

“Isteri pernah dipanggil untuk mewakili negara dalam sukan memanah tradisional di Kazakhstan dua tahun lalu,” katanya.

Talhah berkata, anak sulungnya, Ahmad Asyraf, 13, kini berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas selesai menjalani pembedahan.

“Alhamdulillah, kandungan isteri selamat dan dia mungkin ditahan di hospital beberapa hari lagi untuk rawatan.

“Saya harap isteri cepat sembuh, begitu juga dengan anak memandangkan tahap melecur yang dialami begitu teruk,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top