60,000 pendatang serbu Ceuta, Sepanyol

60,000 pendatang serbu Ceuta, Sepanyol

MADRID – Krisis migrasi tercetus di Sepanyol selepas kira-kira 60,000 pendatang memasuki wilayah Ceuta, dari Maghribi dalam tempoh kurang tiga hari, sekali gus mencetuskan tekanan politik di Madrid dan beberapa negara Eropah.

Menurut ketua kerajaan wilayah Ceuta, Juan Jesus Vivas, jumlah pendatang yang tiba itu melebihi separuh daripada populasi wilayah berkenaan yang mempunyai kira-kira 84,000 penduduk.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan lebih 48,000 pendatang yang memasuki Ceuta secara tidak sah telah dihantar pulang ke Maghribi.

Dalam kejadian itu, seramai 34 individu dilaporkan maut ketika cuba memasuki Ceuta.

Jumlah tersebut jauh lebih besar berbanding kejadian pada Mei 2021 apabila kira-kira 12,000 pendatang menyeberangi sempadan Maghribi ke Ceuta dalam tempoh beberapa hari.

Wartawan Sepanyol yang pakar dalam isu migrasi Afrika Utara, Ignacio Cembrero berkata, kemasukan besar-besaran itu dipercayai berlaku selepas pasukan keselamatan Maghribi didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau mendakwa terdapat tanda-tanda bahawa pasukan keselamatan Maghribi membiarkan pendatang melepasi kawasan sempadan menuju ke Ceuta.

Cembrero berkata, keputusan Mahkamah Agung Sepanyol pada 8 Julai lalu mungkin menjadi antara faktor yang mendorong kemasukan beramai-ramai itu.

Keputusan berkenaan menetapkan pendatang yang tiba melalui laut tidak boleh dihantar pulang dengan segera seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu sahaja tidak menjelaskan skala besar mobilisasi pendatang yang berlaku.

Ada pihak turut mendakwa dasar migrasi Sepanyol yang lebih terbuka mungkin menjadi antara faktor menarik kemasukan pendatang.

Maghribi guna isu migrasi sebagai tekanan?

Beberapa penganalisis melihat tindakan itu mungkin berkait dengan hubungan diplomatik antara Maghribi dan Sepanyol.

Maghribi telah lama menuntut kedaulatan ke atas Ceuta dan Melilla sejak memperoleh kemerdekaan pada 1956, namun Sepanyol menolak sebarang tuntutan berkenaan.

Cembrero berkata, Maghribi mungkin melihat isu migrasi sebagai peluang untuk memberi tekanan dan membuka ruang rundingan dengan Sepanyol.

Eropah perketat kawalan sempadan

Krisis itu turut mendapat perhatian negara Eropah lain.

Itali pada Jumaat mengumumkan penggantungan sementara peraturan Schengen yang membenarkan perjalanan tanpa kawalan sempadan dengan Sepanyol.

Peraturan Schengen melibatkan 29 negara, kebanyakannya anggota Kesatuan Eropah (EU), dan hanya boleh digantung atas beberapa sebab tertentu.

Bagaimanapun, keputusan Itali itu dikritik Madrid, manakala pakar undang-undang mempersoalkan pelaksanaannya berdasarkan kerangka peraturan sedia ada.

Perancis dan Britain menyatakan sokongan kepada Sepanyol, namun Paris turut mengumumkan peningkatan lima kali ganda jumlah anggota polis di sempadan Sepanyol pada Sabtu.

Portugal pula memaklumkan akan memperketat kawalan di sempadan darat dan maritim selatannya.-AFP

Scroll to Top