Mangsa terselamat nahas Jalan Gua Musang ditidurkan

Mangsa terselamat nahas Jalan Gua Musang ditidurkan

GUA MUSANG: Seorang mangsa yang selamat dalam kemalangan maut membabitkan sebuah kereta bertembung treler membawa muatan diesel di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk di sini semalam kini ditidurkan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Nur Balqis Abli, 21, yang mengalami kecederaan parah dipindahkan ke hospital berkenaan selepas menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang semalam.

“Mangsa yang berada di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Myvi mengalami kecederaan parah telah dipindahkan ke HSIP untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohamad Emerul Hakim Abdullah berkata, Nur Balqis kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSIP dan masih ditidurkan bagi membolehkan pasukan perubatan memantau keadaannya.

Katanya, Nur Balqis disahkan mengalami kecederaan kritikal termasuk beberapa pendarahan pada bahagian kepala, hati dan paru-paru.

“Bagaimanapun, beberapa siri imbasan CT mendapati keadaan Nur Balqis semakin menunjukkan perkembangan positif apabila kesan lebam pada kepala bukan pendarahan dalaman, manakala kecederaan hati dan kebocoran paru-parunya juga semakin pulih.

“Insya-Allah, Nur Balqis dibangunkan esok bagi membuat penilaian semula terhadap tahap kecederaannya. Kami akan melakukan solat hajat di masjid pada malam ini untuk Nur Balqis,” ujarnya. – UTUSAN 

Scroll to Top