Nafi tiada 'job', Adam Lee jual preloved isi masa lapang

Nafi tiada 'job', Adam Lee jual preloved isi masa lapang

Petaling Jaya: Pelakon, Adam Lee menjawab tanggapan segelintir pihak apabila didakwa kurang tawaran lakonan menyebabkannya aktif menjual pakaian terpakai atau preloved miliknya.

Adam atau nama sebenarnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 32, berkata perniagaan yang diusahakan itu bukan petanda karier seninya semakin suram, sebaliknya dilakukan bagi mengisi masa lapang sepanjang tempoh rehat penggambaran.

“Berilah saya peluang untuk buat apa yang saya mahu. Kalau orang kata saya tak ada ‘job’, saya tidak boleh menghalang cara mereka berfikir atau bercakap.

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan memulakan penggambaran sekitar 10 atau 15 Ogos ini. Jadi, saya memang ada cuti selama dua bulan.

“Saya sangat gembira dapat melakukan perkara yang saya suka. Berniaga mengajar kita supaya lebih merendah diri. Ia juga menyedarkan saya tentang kehidupan dan membuatkan saya sentiasa mahu berpijak di bumi nyata kerana semua ini hanya sementara,” katanya kepada BH Online.

Suami kepada pelakon Sweet Qismina itu berkata, bidang lakonan kekal menjadi kerjaya utamanya, namun mengakui setiap individu perlu mempunyai perancangan alternatif.

“Saya juga perlukan pelan sandaran. Namun, seperti semua orang tahu, berlakon tetap kerja hakiki saya,” katanya.

Katanya, jualan pakaian terpakai itu dilakukan bagi mengurangkan koleksi pakaian, kasut dan aksesori yang sudah lama tidak digunakan.

“Kalau pakaian, seluar atau kasut tidak dipakai lebih tiga bulan, saya lebih suka menjualnya.

“Saya minta maaf jika ada yang salah faham. Saya bukan hendak menunjuk alim. Kebanyakan barangan ini saya simpan sejak berusia 18 tahun hingga sekarang.

“aripada dibiarkan begitu sahaja, lebih baik saya jual. Kalau diberi kepada orang, saya bimbang tidak dihargai. Jadi, lebih baik saya manfaatkan dengan cara ini,” katanya.

Katanya, jualan preloved itu hanya berlangsung sehingga hujung minggu ini sebelum kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada penggambaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top