Kejayaan atlet negara di Sukan Komanwel 2026 bukti kewibawaan jurulatih tempatan

Kejayaan atlet negara di Sukan Komanwel 2026 bukti kewibawaan jurulatih tempatan

Glasgow: Kejayaan kontinjen negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuktikan jurulatih tempatan memiliki kepakaran dan kemampuan untuk menerajui skuad kebangsaan, sekiranya diberikan peluang serta sokongan sewajarnya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata perkara itu dibuktikan menerusi kejayaan beberapa jurulatih tempatan membimbing atlet negara mencipta pencapaian membanggakan, pada temasya kali ini.

Beliau berkata kejayaan itu terserlah menerusi angkat berat di bawah kendalian Edmund Yeo, boling padang bimbingan Fairul Izwan Abdul Muin, berbasikal trek pimpinan Harnizam Basri serta judo yang dibimbing Md Nashriq Md Nassir.

“Saya sangat kagum dengan pencapaian jurulatih-jurulatih tempatan kita. Dalam angkat berat kita ada jurulatih Edmund, dalam boling padang, bekas atlet kini menjadi jurulatih dan mereka sangat berdedikasi.

“Dalam sukan berbasikal trek, Harnizam mempamerkan kepimpinannya, manakala bagi judo jurulatih Md Nashriq menunjukkan prestasi sangat cemerlang dengan membimbing Amir Daniel (Amir Daniel Abdul Majeed) sehingga meraih pingat emas,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen negara di sini, awal pagi tadi.

Angkat berat muncul sebagai tulang belakang kejayaan kontinjen pada edisi kali ini, apabila menyumbang lima emas, satu perak dan satu gangsa.

Amir Daniel pula mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel, selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram lelaki.

Skuad berbasikal trek pula meraih emas menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki, manakala boling padang menyumbang dua perak dan dua gangsa termasuk menerusi acara para.

Jefri berkata pencapaian itu, menunjukkan jurulatih tempatan memiliki potensi serta kepakaran untuk memegang tampuk kepimpinan utama dalam pasukan masing-masing.

“Jurulatih tempatan kita mempunyai potensi dan kepakaran sekiranya diberikan peluang serta sokongan daripada semua pihak, termasuk MSN dan persatuan sukan. Mereka perlu diberikan kepercayaan untuk menerajui barisan kejurulatihan utama dalam pasukan masing-masing,” katanya.

Malaysia menamatkan kempen Glasgow 2026 dengan meraih lapan emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal (5-2-4).

Kutipan lapan emas itu, merupakan pencapaian terbaik negara sejak meraih 12 emas pada edisi New Delhi 2010, sekali gus mengatasi pencapaian Birmingham 2022 dengan kelebihan satu emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top