London: Empat wanita yang mendakwa menjadi mangsa penderaan bekas pemilik Harrods, Mohamed Al-Fayed disahkan sebagai mangsa pemerdagangan manusia oleh Kementerian Dalam Negeri United Kingdom (UK), menurut kumpulan yang mewakili mangsa kepada AFP pada Isnin.
Bekas taikun perniagaan itu yang meninggal dunia pada 2023 tanpa sempat didakwa di mahkamah dituduh oleh puluhan wanita melakukan serangan, rogol dan pemerdagangan manusia sepanjang lebih tiga dekad.
Ramai mangsa pernah bekerja sebagai kakitangan jualan di Harrods di sini atau diambil bekerja sebagai pembantu di pelbagai syarikat miliknya termasuk Hotel Ritz di Paris.
Empat wanita yang menggunakan nama samaran Isabella, Justine, Elizabeth dan Margo serta mengasaskan kumpulan advokasi “No One Above”, kini diiktiraf secara rasmi sebagai mangsa pemerdagangan manusia.
Menurut Isabella dalam emel kepada AFP, pengalaman mereka sejak 1990-an hingga selepas 2010 membabitkan pemerdagangan manusia merentas sempadan dan juga dalam negara.
Mereka dirujuk kepada Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) iaitu rangka kerja rasmi Britain bagi mengenal pasti dan memberikan sokongan kepada mangsa pemerdagangan manusia serta perhambaan moden oleh badan kebajikan Unseen UK.
Keempat-empat wanita itu menerima keputusan “alasan konklusif” yang mengesahkan mereka sebagai mangsa pemerdagangan manusia antara Mei hingga Julai lalu.
BBC pada April lalu turut melaporkan bahawa seorang lagi wanita, Rachael Louw disahkan sebagai mangsa pemerdagangan manusia selepas mendakwa didera oleh Mohamed dan abangnya, Salah di UK dan Perancis.
Isabella yang pernah bekerja di pejabat Fayed di Harrods pada 2001 memaklumkan dia diiktiraf sebagai mangsa pemerdagangan manusia pada Mei lalu.
“Dia seorang lelaki yang kejam tetapi dia tidak akan dapat melakukan perkara itu tanpa Harrods yang didakwa ‘menyediakan’ wanita kepadanya dan kemudian menutup mulut mereka,” katanya kepada agensi berita Press Association yang pertama kali melaporkan keputusan pengiktirafan berkenaan.
Setakat ini, seramai 157 mangsa membuat laporan kepada Polis Metropolitan London (Met) mendakwa mereka menjadi mangsa serangan seksual, rogol atau pemerdagangan manusia yang dilakukan oleh bekas konglomerat itu.
Puluhan lagi bekas pekerja gedung mewah miliknya turut mengemukakan tuntutan pampasan menerusi skim yang diwujudkan selepas dokumentari BBC pada 2024 mendedahkan skala dakwaan salah laku seksual yang dikaitkan dengannya.
Met setakat ini menyoal siasat enam individu yang disyaki membantu membolehkan perbuatan Fayed berlaku, namun, tiada tangkapan dibuat.
Sebahagian daripada mereka disiasat atas syak wasangka terbabit dalam pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seksual.
Beberapa mangsa termasuk Louw meluahkan kekecewaan kerana Met didakwa tidak memberi perhatian mencukupi terhadap unsur pemerdagangan manusia dalam kes berkenaan.
Awal tahun ini, Louw memberitahu AFP bahawa dia memilih untuk mendapatkan tindakan di Perancis selepas siasatan polis di negara itu terhadap dakwaan penderaan membabitkan Mohamed dan Salah Fayed dikendalikan oleh unit khas pemerdagangan manusia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




