JOHOR BAHRU – Semua parti pembangkang perlu membuang ego dan kembali membentuk kesatuan yang kukuh untuk memberikan hala tuju jelas dan tawaran alternatif kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Biro Politik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, situasi semasa memperlihatkan parti-parti pembangkang berpecah sejak keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan satu realiti politik yang tidak boleh diabaikan.
“Ketika ini, garisan antara kerajaan dengan pembangkang semakin kabur manakala parti-parti yang sepatutnya menjadi alternatif kepada kerajaan terus berpecah, bertembung sesama sendiri dan gagal menawarkan hala tuju yang jelas kepada rakyat,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, meskipun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih bersama dalam kerajaan Persekutuan namun BN bertanding menentang PH di Johor lalu membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan.
“Pas pula menyokong BN dalam PRN Johor dan bekerjasama dengan BN di Negeri Sembilan, sedangkan Pas masih mahu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangkang di peringkat Persekutuan,” katanya.
MUDA turut mendakwa hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) retak sehingga struktur pembangkang sedia ada hilang arah.
“Pembangkang bukan sekadar memiliki kerusi di Dewan Rakyat tetapi merupakan kuasa politik konsisten, menawarkan alternatif malah bersedia menjadi pilihan yang boleh dipercayai rakyat,” ujarnya.
MUDA menegaskan, semua pihak perlu rendah hati untuk duduk semeja dan mendengar cerita satu sama lain sambil mencari persamaan.
Tambah MUDA, kesatuan tidak bermaksud semua parti perlu meranapkan identiti atau bersetuju dalam setiap perkara.
“Kesatuan bermaksud bersedia mencari titik persamaan dalam perkara asas seperti reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, kos sara hidup, hak pekerja, perubahan iklim dan perlindungan terhadap hak semua rakyat Malaysia,” katanya.



