Op Crack: Lima lagi pegawai JIM ditahan SPRM

Op Crack: Lima lagi pegawai JIM ditahan SPRM

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) menerusi Op Crack.

Sumber berkata, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan pada 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara)tanpa mengikut prosedur yang sah.

“Susulan tangkapan itu, SPRM menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek,” katanya.

Setakat ini, sumber berkata, 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, SPRM juga sudah mengambil tindakan membekukan sembilan akaun perbankan, empat milik individu dan dua milik syarikat membabitkan nilai kira-kira RM300,000.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009.

Katanya, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, JIM akan membatalkan semua 1,306 PLKS yang diluluskan secara tidak sah susulan penggodaman MyIMMs.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, semua PLKS yang diluluskan secara tidak sah itu tidak memberi hasil kepada kerajaan dan tindakan pembatalan akan dilaksanakan serta-merta.

Sebelum ini, SPRM menahan reman 12 individu termasuk enam pegawai JIM kerana disyaki bersubahat menggodam MyIMMs bagi mendapatkan kelulusan PLKS secara tidak sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top