UPSI tekankan pendidikan multibudaya perkukuh perpaduan dalam era digital

UPSI tekankan pendidikan multibudaya perkukuh perpaduan dalam era digital

Oleh Bazli Razak (Bahagian Komunikasi Korporat UPSI)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menegaskan kepentingan anjakan paradigma pendidikan multibudaya bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah memiliki literasi digital, pemikiran kritis dan kepekaan budaya dalam mendepani cabaran era digital.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata, pendidikan multibudaya perlu berkembang melangkaui pengenalan terhadap adat, bahasa dan budaya sesuatu kaum, sebaliknya menjadi pendekatan yang mampu membina empati, keadilan sosial, sikap saling menghormati serta keupayaan hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

Menurut beliau, perkembangan teknologi digital telah mengubah landskap pembelajaran apabila interaksi antara budaya berlaku dengan lebih pantas tanpa batasan geografi, sekali gus membuka ruang kepada murid dan mahasiswa untuk berhubung dengan masyarakat global melalui pelbagai platform digital.

“Namun, kemajuan teknologi turut membawa cabaran baharu apabila maklumat palsu, stereotaip, ucapan kebencian, diskriminasi dan buli siber boleh tersebar dengan pantas sekiranya pengguna tidak memiliki literasi digital, pemikiran kritis dan kepekaan budaya yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Syarahan Budiman bertajuk Anjakan Paradigma Pendidikan Multibudaya dalam Era Digital di Malaysia dan Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Prof Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, Tanjung Malim, pada Selasa.

Raja Nor Safinas ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman dan Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Prof Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Hadir sama  Naib Canselor UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Prof Dr. Azmi Mohamed.

Raja Nor Safinas berkata, transformasi digital juga perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan akses kepada peranti, internet, kandungan pembelajaran berkualiti serta sokongan pendidikan dapat dinikmati secara saksama supaya tiada murid atau komuniti yang tercicir.

Beliau berkata, matlamat utama pendidikan masa kini adalah melahirkan generasi yang mampu menggunakan teknologi secara bertanggungjawab, beretika dan berperikemanusiaan, selain berupaya menilai maklumat secara kritis serta menghormati kepelbagaian budaya dan pandangan.

Raja Nor Safinas (dua dari kiri) bergambar pada Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Prof Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Dalam pada itu, beliau berkata UPSI sebagai universiti pendidikan terulung negara memikul tanggungjawab besar untuk menerajui penyelidikan, latihan guru dan inovasi pedagogi yang menyokong pembangunan pendidikan multibudaya serta transformasi digital negara.

“Usaha berkenaan memerlukan kerjasama erat antara universiti, sekolah, pembuat dasar, industri, keluarga dan komuniti kerana pembentukan nilai tidak berlaku di bilik darjah semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan,” ujarnya.

Warga UPSI bergambar kenangan pada Majlis Syarahan Budiman dan Sesi Clock Out Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Prof Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Sementara itu, Raja Nor Safinas menyifatkan Prof Dr. Abdul Talib sebagai seorang tokoh akademik yang banyak menyumbang kepada bidang sosiologi pendidikan melalui penyelidikan berkaitan keadilan sosial, mobiliti pendidikan serta hubungan antara budaya dengan sistem pembelajaran.

“Sumbangan beliau bukan sahaja memperkaya khazanah ilmu akademik, malah menjadi rujukan kepada pembuat dasar, pengamal pendidikan, mahasiswa dan masyarakat dalam memahami peranan pendidikan membentuk sebuah masyarakat yang inklusif dan harmoni,” katanya lagi.

Scroll to Top