Pelajar rogol kenalan dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Pelajar rogol kenalan dihantar ke Sekolah Henry Gurney

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang pelajar Tingkatan Empat yang dituduh merogol kenalan perempuan, menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno terhadap pelajar berusia 16 tahun berkuat kuasa hari ini selepas mahkamah berpuas hati dengan pengakuan bersalah dibuat serta pembentangan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh berhadapan tiga pertuduhan, didakwa merogol pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di dalam daerah ini antara jam 5 petang hingga 10 malam, pada 31 Disember tahun lalu, 22 Mac dan 17 Mei lalu.

Kesemua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala hukuman bagi pesalah juvana antaranya mengenakan bon berkelakuan baik, denda serta dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas mendakwa tertuduh membawanya ke rumah lelaki itu sebelum melakukan perbuatan itu.

Mangsa mendakwa tertuduh merogolnya sebanyak tiga kali dalam kejadian berasingan, dan siasatan mendapati dia mengambil pelajar perempuan terbabit untuk bersiar-siar di sekitar Senggarang.

Tertuduh kemudiannya membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya melalui pintu belakang kerana tidak mahu perbuatan itu diketahui ahli keluarganya.

Bertindak atas maklumat, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh di rumahnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top