RUU Sewaan Kediaman perlu lindungi hak penyewa dan pemilik rumah

RUU Sewaan Kediaman perlu lindungi hak penyewa dan pemilik rumah

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Sewaan Kediaman yang sedang dimuktamadkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memberi perlindungan undang-undang yang jelas kepada penyewa dan pemilik rumah bagi mewujudkan pasaran sewaan lebih teratur, telus serta seimbang.

Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Hartanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Najib Razali berkata, matlamat utama penggubalan RUU itu bukan untuk memihak kepada mana-mana pihak, sebaliknya memastikan hak dan tanggungjawab penyewa serta pemilik dilindungi secara adil.

Beliau berkata, bagi penyewa, perlindungan perlu meliputi isu deposit, keadaan rumah, penyelenggaraan, privasi, kenaikan sewa yang munasabah serta pengusiran yang mengikut prosedur.

“Pada masa sama, pemilik rumah juga perlu dilindungi daripada tunggakan sewa, kerosakan harta, pelanggaran kontrak, penyewaan semula tanpa kebenaran dan kesukaran mendapatkan semula kediaman apabila penyewa gagal mematuhi perjanjian.

“Antara mekanisme penting yang wajar diperkenalkan ialah Tribunal Sewaan Kediaman bagi membolehkan pertikaian seperti deposit, tunggakan sewa dan kerosakan harta diselesaikan dengan lebih cepat serta pada kos yang rendah,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu KPKT dilaporkan sedang memuktamadkan RUU Penyewaan Kediaman bagi mengimbangi hak dan perlindungan penyewa serta pemilik rumah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu pada sesi soal jawab di Dewan Negara berkata, perundangan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pasaran sewaan yang lebih adil dan menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian lebih cepat, mudah dan berkos rendah.

Muhammad Najib berkata, deposit sewaan juga sebaiknya dipegang oleh badan bebas atau melalui akaun amanah dan bukannya sepenuhnya oleh pemilik rumah.

“Beberapa negara boleh dijadikan rujukan dalam pelaksanaan RUU berkenaan. New Zealand menggunakan Tenancy Tribunal dan sistem deposit yang dikendalikan secara berpusat.

“Victoria, Australia pula mempunyai Residential Tenancies Bond Authority yang memegang deposit serta Victorian Civil and Administrative Tribunal (VCAT) untuk menyelesaikan pertikaian,” katanya.

Beliau berkata, Ireland turut mewajibkan pendaftaran sewaan melalui Residential Tenancies Board selain menyediakan mediasi dan adjudikasi, manakala United Kingdom melaksanakan Tenancy Deposit Protection Scheme bagi mengurangkan pertikaian berkaitan deposit.

“Malaysia boleh mengadaptasi gabungan mekanisme ini mengikut keadaan tempatan,” katanya.

Mengulas kawalan harga sewa, katanya, pendekatan itu tidak wajar dilaksanakan secara terlalu ketat kerana boleh mengurangkan minat pemilik menawarkan rumah kepada pasaran sekali gus mengecilkan bekalan.

“Pendekatan yang lebih sesuai ialah menetapkan prosedur kenaikan sewa yang telus termasuk notis awal dan tempoh kenaikan yang munasabah.

“Saya mencadangkan sistem pendaftaran sewaan digital nasional diperkenalkan bagi merekodkan perjanjian sewaan, deposit, rekod pembayaran serta keadaan rumah secara digital,” katanya.

Jelasnya, data itu boleh dimanfaatkan untuk membangunkan indeks harga sewaan mengikut lokasi dan jenis rumah, manakala penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu mengenal pasti kawasan yang mengalami kenaikan sewa luar biasa, tekanan kemampuan menyewa dan pola pertikaian, tertakluk kepada perlindungan data serta kawalan terhadap diskriminasi.

“RUU ini perlu berasaskan prinsip keseimbangan hak dan pengurangan risiko kedua-dua pihak. Penyewa yang baik perlu berasa selamat untuk tinggal di rumah sewa, manakala pemilik yang bertanggungjawab perlu mempunyai keyakinan bahawa aset dan pendapatan sewaan mereka turut dilindungi.

“Jika dilaksanakan dengan tribunal yang cekap, perlindungan deposit, pendaftaran digital dan peraturan yang jelas, RUU ini boleh membantu membentuk pasaran sewaan kediaman Malaysia yang lebih profesional, stabil dan dipercayai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top