KUALA LUMPUR – Landskap politik di Melaka yang jauh berbeza, dengan BN dan Pas masing-masing mempunyai alasan untuk mendakwa berada pada kedudukan lebih kukuh, berpotensi mencetuskan bibit-bibit perpecahan meskipun kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) baru sahaja mula berputik.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, walaupun kerjasama tersebut menyebabkan BN menang besar di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, kerjasama antara kedua-dua bakal berdepan dengan pelbagai isu seperti pembahagian kerusi pada PRU akan datang dan lantikan jawatan selepas menang yang akan mewujudkan suasana tidak puas hati sesama mereka.
Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa bentuk persefahaman BN–PN di Melaka mungkin berbeza daripada formula yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan boleh dibaca sebagai isyarat awal rundingan bahawa Pas dan PN tidak mahu sekadar menjadi rakan kecil kepada BN di negeri tersebut.
“Hadi mempunyai asas untuk membangkitkan perkara itu. BN kini menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN Melaka dan masih mempunyai majoriti dua pertiga, tetapi gabungan tersebut gagal memenangi satu pun daripada enam kerusi Parlimen Melaka dalam PRU15. Sebaliknya, PN memenangi Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin manakala PH menguasai Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.
“Keadaan ini mewujudkan dua ukuran kekuatan yang bercanggah. UMNO boleh berhujah bahawa ia lebih kuat kerana menguasai kerajaan negeri, jawatan Ketua Menteri dan majoriti besar dalam DUN. Pas serta PN pula boleh berhujah bahawa keputusan pilihan raya yang lebih terkini, iaitu PRU15 pada 2022, menunjukkan BN telah kehilangan penguasaan sebenar dalam kalangan pengundi Melaka,” katanya pada Rabu.
Baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, BN dan PN mungkin mencapai bentuk persefahaman yang berbeza bagi menghadapi PRN Melaka meskipun kedua-dua gabungan itu mencatat kemenangan meyakinkan dalam PRN Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, walaupun BN menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN Melaka, gabungan yang diterajui UMNO itu tidak memiliki sebarang kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula berkata, gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti menerusi formula “BN Plus” bagi menghadapi PRN negeri tersebut. Bagaimanapun, perbincangan itu tidak semestinya membawa kepada persetujuan kerana ia bergantung pada kekuatan setiap parti.
Dalam pada itu, Nur Ayuni berkata, kenyataan Abdul Hadi adalah usaha meningkatkan kedudukan tawar-menawar Pas dan PN sebelum rundingan rasmi bermula.
Katanya, di Negeri Sembilan, BN muncul sebagai komponen terbesar dengan 18 kerusi, PN tujuh kerusi dan PH 11 kerusi. Oleh sebab itu, Pas menerima hakikat bahawa BN mengetuai kerajaan negeri sementara pembahagian jawatan Exco dibuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi.
Di Melaka, katanya, Pas boleh berhujah bahawa formula tersebut tidak boleh digunakan secara terus kerana sekiranya pembahagian dibuat berdasarkan penyandang DUN, BN hampir pasti mendapat sebahagian besar daripada 28 kerusi tetapi jika pembahagian dibuat berdasarkan keputusan PRU15, PN boleh menuntut sekurang-kurangnya 10 kerusi atau jumlah yang hampir seimbang dengan BN.
“Di sinilah bibit perpecahan akan bermula. Tidak ada formula yang dapat memuaskan kedua-dua pihak sepenuhnya. Formula penyandang menguntungkan UMNO kerana BN mempunyai 20 ADUN.
“Formula keputusan terkini menguntungkan PN kerana PN memenangi tiga kerusi Parlimen dan menguasai 10 DUN berdasarkan pecahan PRU15. Formula kebolehmenangan pula boleh menyebabkan penyandang UMNO diminta menyerahkan kerusi kepada Pas atau Wawasan, sekali gus mencetuskan penolakan bahagian serta sabotaj dalaman,” katanya.
Jelasnya, walaupun pembahagian kerusi dapat diselesaikan, pertikaian seterusnya ialah mengenai jawatan selepas kemenangan.
Katanya, UMNO sudah tentu mahu mengekalkan jawatan Ketua Menteri kerana ia merupakan parti kerajaan semasa, manakala Pas dan PN pula mungkin menuntut jawatan Timbalan Ketua Menteri, beberapa portfolio Exco kanan, jawatan dalam GLC negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi agama dan pembangunan luar bandar.
“Sekiranya BN memenangi lebih banyak kerusi, Pas berisiko dilihat sebagai kuda tunggangan UMNO. Sebaliknya, jika PN diberikan banyak kerusi dan jawatan, pemimpin serta penyokong UMNO mungkin mempersoalkan mengapa parti yang menguasai 20 kerusi DUN perlu tunduk kepada gabungan yang hanya mempunyai dua kerusi PN dalam komposisi semasa.
“Melaka hanyalah gambaran kecil kepada masalah pembahagian kerusi di peringkat nasional. Pas dan PN mempunyai kedudukan dominan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Sukar dibayangkan Pas sanggup menyerahkan banyak kerusi selamat kepada UMNO semata-mata atas nama penyatuan Melayu.
“Sebaliknya, UMNO tidak mungkin bersedia menyerahkan kerusi tradisinya di Pahang, Johor dan beberapa negeri lain kepada Pas atau Wawasan. Persoalan sama akan timbul dalam menentukan calon Perdana Menteri, Menteri Besar, pembahagian kerusi Parlimen serta kedudukan Wawasan dalam kerjasama tersebut,” katanya.



