am@hmetro.com.my
Jitra: Seorang lelaki mendakwa mengalami kerugian RM25,000 selepas dipercayai menjadi mangsa hutang kutu membabitkan wanita yang dilaporkan hilang bersama suami dan anaknya sejak 20 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, lelaki berusia 23 tahun itu membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM25,000.
Menurutnya, laporan itu dibuat terhadap wanita berusia 36 tahun itu.
“Setakat ini kita masih mengesan mereka termasuk suami wanita itu yang berusia 39 tahun dan anak mereka berusia sembilan tahun yang masih hilang, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, tiga beranak terbabit dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas sejak 20 Julai lalu.
Susulan itu, bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, semalam, selepas gagal mengesan anak perempuan, menantu serta cucunya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




