Warga Indonesia didenda RM7,000 ceroboh hutan simpan

Warga Indonesia didenda RM7,000 ceroboh hutan simpan

am@hmetro.com.my

Seremban: Lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memasuki kawasan hutan simpan tertutup tanpa kebenaran, Julai lalu.

Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sajin Abas, 44, selepas membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki kawasan yang diwartakan sebagai hutan tertutup tanpa permit atau kebenaran sah.

Kesalahan dilakukan di Hutan Simpan Triang, dekat Jelebu pada 29 Julai lalu ketika operasi yang dijalankan Seksyen Operasi dan Penguatkuasaan, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 30 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahira Ellyna Binti Badrul Hisham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top