mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Kamarool Yusoff atas pemergian pelakon terbabit pada petang tadi.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah, pihak SENIMAN menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
“Sepanjang lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia lakonan, Allahyarham telah mencipta nama sebagai antara pelakon karakter terbaik negara dengan gaya lakonan yang bersahaja, penuh jiwa dan cukup sinonim dengan loghat Kelantan yang menjadi identiti beliau.
“Allahyarham mula mencuri perhatian menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja (1986), sebelum terus mengukuhkan kedudukan dalam industri menerusi pelbagai filem seperti Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk, Cerita Hantu Malaysia, Mael Totey The Movie, Abu Si Raksasa serta drama bersiri Banyak Chanteq.
“Watak “Cik Man” dalam trilogi filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid menjadi antara watak paling ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia dan kekal terpahat dalam ingatan pencinta seni tanah air,” katanya.
Menurut mereka, walaupun Allahyarham bukanlah seorang yang mengejar pengiktirafan atau populariti, dedikasi, disiplin serta komitmen beliau terhadap dunia seni menjadikannya seorang seniman yang amat dihormati oleh rakan industri dan generasi pelapis.
“Legasi yang ditinggalkan melalui karya-karya beliau merupakan khazanah seni negara yang akan terus dikenang sepanjang zaman.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan tertinggi dan warga SENIMAN Malaysia, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memartabatkan industri seni kreatif Malaysia.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah buat keluarganya. Semoga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Perginya seorang seniman, namun karya dan jasanya akan terus hidup dalam lipatan sejarah seni tanah air.
“”Al-Fatihah,”Terdahulu, Kamarool atau Cik Man dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah, di sini, pada tengah malam semalam selepas dipercayai mengalami masalah jantung tersumbat dan ditidurkan.
Dia kemudian menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.15 petang pada usia 68 tahun di hospital terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




