Pelakon Amyza Aznan berkata dia masih menghantar mesej ke nombor telefon anaknya, Allahyarham Andre Mikhail meskipun sudah enam bulan anaknya menghadap Ilahi.
Memetik mStar Online, Amyza berkata dia akan terus menghantar mesej kepada anaknya kerana itu saja cara dia meluahkan rasa rindu.
BACA: Amyza Aznan Menangis Terima RM191,947, Pak Nil Serah Sumbangan Orang Ramai Untuk Adrian
“Sampai sekarang saya masih lagi mesej ke nombor anak saya. Nombor itu masih lagi aktif. Saya tak boleh kalau nak kongsi pasal anak ini.
“Saya akan terus mesej dia walaupun satu tanda pun saya tak kisah. Saya okay saja, janji saya mesej dia. Itu cara saya luahkan rindu. Setiap hari saya akan hantar ‘Assalamualaikum Andre’,” katanya.
Sementara itu, Amyza berkata dia menyedari mesejnya itu tidak akan berbalas serta tidak kisah dengan pandangan orang ramai dengan tindakannya itu.
“Itu saja pun penawar rindu saya. Saya tahu tak berjawab, tapi tak apalah, tak kisah pun orang nak cakap saya gila ke, orang nak cakap saya apa. Saya tak kisah,” katanya.
Terdahulu, Andre menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.
Sumber: mStar Online




