Lelaki moden kini prihatin penjagaan kulit

Lelaki moden kini prihatin penjagaan kulit

surayaroslan@mediaprima.com.my

Jika dahulu penjagaan kulit sering dianggap sebagai rutin wanita, kini persepsi itu semakin berubah apabila semakin ramai lelaki mula memberi perhatian terhadap keadaan kulit dan penampilan diri.

Daripada sekadar mencuci muka, lelaki hari ini semakin biasa menggunakan pencuci muka, pelembap, pelindung matahari, malah serum sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Perubahan gaya hidup, peningkatan kesedaran mengenai penjagaan diri serta pendedahan kepada media sosial antara faktor yang membuatkan lelaki semakin terbuka terhadap dunia penjagaan kulit.

Bagi sesetengah lelaki, rutin penjagaan kulit bukan semata-mata mahu kelihatan lebih bergaya, tetapi berkait dengan keselesaan dan keyakinan diri ketika berhadapan orang lain.

Namun, dalam keghairahan mencuba pelbagai produk, masih ada lelaki yang melakukan beberapa kesilapan asas ketika memilih atau menggunakan produk penjagaan kulit.

Antara kesilapan paling biasa ialah membeli produk hanya kerana melihat iklan atau terpengaruh dengan trend tanpa mengetahui jenis kulit sendiri.

Kulit setiap individu berbeza dan produk yang sesuai untuk seorang lelaki belum tentu memberikan kesan sama kepada orang lain.

Ada yang mempunyai kulit berminyak, kering, kombinasi atau sensitif, justeru pemilihan produk perlu mengambil kira keadaan kulit dan bukan semata-mata jenama atau harga.

Selain itu, ada lelaki yang menganggap lebih banyak produk digunakan, lebih cepat hasilnya.

Hakikatnya, rutin penjagaan kulit tidak semestinya perlu mempunyai banyak langkah, rutin asas yang konsisten lebih penting daripada mempunyai rak penuh dengan produk yang jarang digunakan.

Kesilapan lain ialah mencuci muka terlalu kerap kerana menganggap kulit akan menjadi lebih bersih.

Penggunaan pencuci yang terlalu kuat atau mencuci muka secara berlebihan boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan tidak selesa.

Ada juga yang hanya memberi perhatian kepada kulit wajah tetapi melupakan bahagian lain seperti leher, bibir dan tangan, sedangkan kawasan berkenaan turut terdedah kepada cahaya matahari dan faktor persekitaran.

Lebih penting, pelindung matahari tidak sepatutnya dianggap sebagai produk khusus wanita.

Lelaki yang banyak melakukan aktiviti luar, bersukan atau bekerja di bawah matahari juga perlu memberikan perhatian kepada perlindungan kulit daripada sinaran ultraviolet.

Dalam pada itu, lelaki yang baru mahu memulakan rutin penjagaan kulit tidak perlu terus membeli pelbagai produk.

Memadai bermula dengan rutin asas yang mudah diamalkan setiap hari sebelum menambah produk lain mengikut keperluan.

Yang penting, jangan mudah terpedaya dengan dakwaan produk yang menjanjikan perubahan drastik dalam tempoh singkat.

Zaman lelaki hanya perlu menggunakan sabun mandi untuk mencuci muka mungkin sudah berlalu.

Hari ini, lelaki juga semakin sedar bahawa kulit yang sihat bukan sekadar soal rupa, tetapi sebahagian daripada cara menghargai diri sendiri.

TIP ASAS PENJAGAAN KULIT LELAKI:

1. Kenali jenis kulit

Kenal pasti sama ada kulit cenderung berminyak, kering, kombinasi atau sensitif sebelum memilih produk.

2. Mulakan dengan asas

Pencuci muka, pelembap dan pelindung matahari sudah memadai sebagai permulaan.

3. Jangan ikut trend semata-mata Produk yang popular di media sosial belum tentu sesuai dengan kulit sendiri.

4. Jangan cuci muka berlebihan

Membersihkan muka terlalu kerap atau menggunakan produk terlalu kuat boleh menyebabkan kulit kering dan tidak selesa.

5. Jangan lupa pelindung matahari

Gunakan pelindung matahari terutama jika kerap berada di luar, bersukan atau terdedah kepada cahaya matahari.

6. Beri masa kepada kulit

Jangan terlalu cepat menukar produk kerana mahukan hasil segera. Rutin yang konsisten lebih penting.

7. Jaga kebersihan barang yang menyentuh muka

Tuala, sarung bantal, telefon bimbit dan alat pencukur yang kotor boleh mempengaruhi keadaan kulit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top