Pencipta konten buat laporan polis

Pencipta konten buat laporan polis

Jerantut: Seorang pencipta kandungan media sosial dari Kota Bharu yang terkenal dengan kandungan memasak ‘cak pua’ mendakwa kerugian RM3,450 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej trip memancing di Sungai Sepia, Taman Negara, Pahang.

Mangsa yang dikenali sebagai AS_Kitchen di Facebook membuat laporan polis memaklumkan bahawa dia bersama beberapa rakannya menempah pakej memancing dengan seorang tekong dikenali sebagai Along Kama atau Mohd Hairul Kamaruddin pada 31 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Arshad Ayob berkata, kumpulan itu terlebih dahulu membuat bayaran deposit sebanyak RM300 sebelum diminta membuat beberapa bayaran tambahan yang didakwa bagi tujuan pembaikan bot dan permit operasi.

“Beberapa transaksi dibuat secara berperingkat antara Jun hingga Julai lalu melalui pembayaran QR kepada beberapa individu serta wang tunai yang diserahkan kepada tekong berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran RM3,450.

“Bagaimanapun, pada hari trip dijadualkan berlangsung, aktiviti memancing gagal diteruskan selepas tekong terbabit dikatakan ditahan pihak berkuasa kerana tidak dibenarkan beroperasi di kawasan Taman Negara,” katanya.

Menurut beliau, suspek kemudian berjanji memulangkan wang itu pada penghujung Julai lalu, namun sehingga kini mangsa mendakwa belum menerima sebarang bayaran balik.

Arshad berkata, siasatan mendapati semua pembayaran dibuat melalui pindahan QR ke akaun atas nama Norhisam Hashim dan Siti Faizah Ali, selain bayaran tunai kepada tekong yang dikenali sebagai Along Kama.

Beliau berkata, semakan turut mengesahkan Along Kama adalah individu yang wujud dan pernah mengendalikan trip memancing di Taman Negara pada 2022 berdasarkan pengesahan rakan mangsa.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan menasihatkan mangsa mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top