PENDEDAHAN Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan detik penting dalam sejarah tadbir urus negara.
Bagi Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), laporan ini tidak seharusnya dilihat sebagai kemenangan atau kekalahan mana-mana parti politik. Sebaliknya, perlu dijadikan titik perubahan untuk memperkukuhkan institusi yang mengurus amanah jutaan pendeposit Islam.
Sejak penubuhannya pada 1963 hasil cetusan idea Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, TH menjadi antara institusi Islam paling berjaya di dunia. Model simpanan haji yang menggabungkan pelaburan patuh syariah dan pengurusan ibadah menjadi contoh kepada banyak negara Islam.
Oleh itu, sebarang kelemahan yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan institusi tersebut, malah menggugat keyakinan umat Islam terhadap sebuah institusi yang dibina atas asas amanah.
RCI mendedahkan beberapa kelemahan yang serius. Antaranya ialah campur tangan politik dalam proses membuat keputusan, konflik kepentingan dalam pelantikan kepimpinan, kelemahan tadbir urus, struktur pelaburan yang tidak berkesan, serta keperluan audit forensik terhadap beberapa transaksi.
Lebih penting lagi, laporan tersebut menunjukkan kelemahan tadbir urus bukan hanya berlaku dalam satu tempoh pentadbiran, malah terdapat kelemahan yang berterusan sebelum dan selepas 2018.
Hakikat ini membuktikan masalah sebenar bukan terletak pada mana-mana individu atau parti politik semata-mata tetapi pada kelemahan sistem yang membenarkan campur tangan politik mengatasi pertimbangan profesional.
MCW berpandangan perdebatan awam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan sama ada wujud unsur ‘sakau atau tidak. Rasuah bukan hanya berlaku apabila wang dipindahkan ke dalam akaun peribadi tetapi kegagalan mematuhi prinsip tadbir urus, keputusan yang dipengaruhi kepentingan politik, pelantikan yang mempunyai konflik kepentingan serta pengabaian amaran institusi kawal selia juga boleh mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat.
Amanah boleh dikhianati bukan sahaja melalui pencurian tetapi juga melalui keputusan yang cuai, tidak berintegriti dan tidak profesional.
Justeru, MCW menyambut baik cadangan RCI supaya ahli politik aktif tidak lagi dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga TH. Cadangan ini merupakan reformasi penting yang wajar diperluaskan kepada institusi kewangan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun yang mengurus dana awam bernilai berbilion ringgit.
Pengurusan institusi strategik hendaklah dipimpin oleh profesional yang mempunyai kepakaran dalam kewangan, pelaburan, pengurusan risiko dan tadbir urus, bukannya berdasarkan pertimbangan politik.
Dalam masa sama, MCW berpandangan kedudukan TH sebagai institusi amanah umat Islam memerlukan satu lapisan perlindungan institusi yang lebih kukuh. Terdapat cadangan supaya TH dijadikan sebuah badan wakaf Persekutuan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja Melayu.
Walaupun cadangan ini lahir daripada hasrat murni untuk mengangkat martabat institusi tersebut, namun MCW berpandangan cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan dalam bentuk tersebut.
Hal ini kerana wang yang disimpan di TH merupakan hak milik pendeposit dan boleh dikeluarkan mengikut syarat tertentu, sedangkan wakaf mempunyai konsep perundangan dan syariah yang berbeza.
Selain itu, pentadbiran wakaf berada di bawah bidang kuasa negeri, manakala Tabung Haji ialah badan berkanun Persekutuan yang menjalankan fungsi kewangan, pelaburan dan pengurusan haji di peringkat nasional. Menggabungkan kedua-dua konsep tersebut berpotensi menimbulkan pertindihan bidang kuasa dan kesukaran dari sudut pentadbiran.

MODEL PRAKTIKAL
Sebaliknya, MCW mencadangkan satu model yang lebih praktikal, iaitu mewujudkan Model Amanah Haji Nasional Berperlindungan Diraja. Dalam model ini, TH kekal sebagai badan berkanun Persekutuan yang tertakluk kepada undang-undang, audit dan penelitian Parlimen, namun pada masa sama diberikan perlindungan institusi melalui penglibatan Majlis Raja-Raja dalam aspek amanah dan pelantikan tertentu.
Melalui model ini, Majlis Raja-Raja tidak perlu terlibat dalam urusan operasi harian atau keputusan pelaburan. Sebaliknya, institusi raja-raja boleh memainkan peranan sebagai penaung kepada prinsip integriti, amanah dan pemeliharaan kepentingan umat Islam.
Pada masa sama, sebuah Majlis Amanah Tabung Haji yang terdiri daripada tokoh kewangan, pakar syariah, pakar pelaburan, wakil pendeposit dan profesional bebas boleh diwujudkan bagi mengawasi aspek tadbir urus, konflik kepentingan serta pelaksanaan syor-syor RCI.
MCW juga mencadangkan supaya semua pelantikan pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga melalui proses saringan integriti yang ketat, disokong oleh semakan latar belakang profesional dan pengisytiharan konflik kepentingan. Tempoh jawatan hendaklah tetap, bebas daripada pertukaran politik, serta tertakluk kepada penilaian prestasi secara berkala.
Selain itu, audit forensik berkala terhadap transaksi berisiko tinggi perlu diwajibkan, manakala laporan tadbir urus dan pengurusan risiko hendaklah dibentangkan kepada Parlimen secara berkala. Ketelusan seperti ini akan meningkatkan keyakinan pendeposit serta mengurangkan ruang kepada salah guna kuasa.
MCW percaya kejayaan sebenar RCI TH tidak akan diukur melalui jumlah individu yang didakwa atau keuntungan politik mana-mana pihak.
Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila laporan ini menjadi pemangkin kepada reformasi institusi yang menyeluruh.
Negara memerlukan institusi yang lebih kuat daripada individu, sistem yang lebih kukuh daripada pengaruh politik dan budaya amanah yang mengatasi kepentingan mana-mana kumpulan.
TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Ia adalah simbol kepercayaan umat Islam Malaysia. Amanah yang dibina oleh Ungku Aziz lebih enam dekad lalu mesti dipelihara dengan keberanian melakukan pembaharuan.
Sekiranya negara benar-benar mengambil iktibar daripada RCI ini, maka generasi akan datang bukan sahaja akan mewarisi TH yang lebih stabil, malah sebuah institusi yang benar-benar bebas, telus, profesional dan berintegriti. Itulah legasi yang sewajarnya kita tinggalkan demi agama, bangsa dan negara. –UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).




