DAP mengakui usaha memperluaskan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu masih menjadi cabaran utama walaupun jumlah keahlian orang Melayu dalam parti itu menunjukkan peningkatan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pertambahan penyertaan tersebut belum cukup untuk mengubah persepsi yang sekian lama dikaitkan dengan parti berkenaan.
Beliau berkata, antara faktor yang menyukarkan usaha itu ialah tanggapan bahawa DAP merupakan parti berasaskan kaum Cina, sedangkan perjuangan parti tersebut berpaksikan prinsip sosial demokrasi yang tidak berlandaskan kaum mahupun agama.
“Cabaran itu memang ada sejak dahulu lagi. Kita perlu jelaskan bahawa DAP bukan parti Cina kerana dasar parti tidak berkait dengan kaum atau agama, sebaliknya mempertahankan keadilan sosial dan demokrasi mengikut lunas Perlembagaan.
“Tetapi dari dulu lagi, DAP dijadikan ‘punching bag’ menggunakan sentimen kaum dan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Foto arkib: FB Sheikh Omar Ali
Sheikh Umar berkata, corak serangan terhadap DAP turut berubah mengikut perkembangan landskap politik negara.
Menurutnya, ketika DAP berada dalam Pakatan Rakyat (PR), parti itu sering menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) yang memainkan isu berkaitan kaum dan agama. Namun selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, serangan terhadap DAP lebih banyak digerakkan oleh PAS.
“Pada awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan, pemimpin UMNO tidak lagi menyerang DAP seperti dahulu. Malah ada yang menyatakan DAP bukan ancaman.
“Tetapi apabila PAS tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH), serangan terhadap DAP kembali memuncak, terutama ketika pilihan raya di Negeri Sembilan dan Johor. Ketika itu kita melihat persepsi buruk terhadap DAP terus dimainkan,” ujarnya.
Foto arkib: FB Sheikh Omar Ali
Beliau mengakui situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada DAP dan PH, justeru pimpinan parti perlu terus memperhebat usaha memberi penerangan kepada masyarakat, khususnya orang Melayu.
Tambahnya, peningkatan itu sememangnya ada dan di Negeri Sembilan misalnya, sokongan Melayu kepada DAP dilihat semakin bertambah walaupun masih belum mencukupi.
“Jadi tidak tepat untuk mengatakan orang Melayu langsung tidak menyokong DAP. Sokongan itu wujud, cuma belum besar.
“Malah, kita akan terus turun ke akar umbi memberi penjelasan supaya masyarakat Melayu dapat menilai DAP berdasarkan dasar dan perjuangan sebenar, bukan persepsi yang dibina oleh musuh politik,” tambahnya.
Sumber: Utusan Malaysia (Aslinda Nasir)




