am@hmetro.com.my
Beaufort: Tiga anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, hari ini, dipercayai sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik.
Dalam kejadian 5.50 petang itu berlaku apabila galah besi yang digunakan seorang anggota secara tiba-tiba hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik di atas.
Dua lagi anggota yang berada berhampiran kemudian cuba membantu mangsa, namun turut terkena renjatan sebelum ketiga-tiganya rebah.
Mangsa ialah anggota Balai Polis Weston, iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40; Konstabel Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota terbabit sedang mengait buah kelapa sebelum kejadian berlaku.
“Ketika menggunakan galah besi yang panjang, alat itu dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik.
“Dua lagi anggota cuba membantu rakannya, namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejarkan ke lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




