Penampilannya menjadi perhatian, pengacara Maria Tungku Sabri berkata dia menjalani pembedahan bariatrik pada Julai tahun lalu kerana masalah kesihatan.
Memetik Astro Gempak, Maria berkata dia diberikan tempoh tiga bulan untuk menurunkan berat badan dan jika tidak dia perlu mengambil ubat kencing manis dan kolesterol.
“Sebenarnya doktor sudah melakukan saringan kesihatan dan memberi saya tempoh tiga bulan untuk kuruskan badan. Jika tidak dia terpaksa menyuruh saya mengambil ubat kencing manis dan kolesterol selain ubat darah tinggi yang telah saya ambil sejak 19 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Maria berkata disebabkan keadaan fizikalnya kini ada yang mengejek namun dia enggan peduli dengan kata-kata negatif tersebut kerana memikirkan kesihatannya.
“Saya tidak kisah orang nak cakap apa sebab mereka tidak berada di tempat saya. Sayaaya fikirkan kesihatan saya dan tidak kisah apa cakap orang.
“Mereka nak kata saya terlalu kurus, ibarat makcik berbangsa Cina, malah ada yang memanggil saya Roslan Shah, saya tak kisah semua itu.
“Yang penting suami dan anak-anak saya tahu saya melakukan bariatrik demi kesihatan. Insha-Allah saya mahu hidup sihat, umur panjang dan melihat anak-anak saya berumah tangga,” katanya.
Dalam pada itu, Maria turut bersyukur dengan keadaan kesihatannya kini dan tidak perlu mengambil ubat darah tinggi selepas 19 tahun.
“Setiap bulan saya melakukan ujian darah dan doktor mendapati fungsi dalaman saya ibarat wanita berusia 18 tahun. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana sekarang sudah sihat tanpa penyakit tiga serangkai,” katanya.
Sumber: Astro Gempak




