KP, KSU perlu jadi duta banteras ketirisan

KP, KSU perlu jadi duta banteras ketirisan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Setiap Ketua Pengarah (KP) dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) perlu menjadi ‘panglima integriti’ dalam usaha membanteras ketirisan khususnya membabitkan perolehan kerajaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Gunawan Che Ab Aziz berkata, usaha itu sebagai inisiatif melonjak Malaysia ke kedudukan 25 dunia dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030.

Menurutnya, setiap KP dan KSU perlu memainkan peranan sebagai penggerak polisi kerajaan yang berkesan kerana sebaik mana sesuatu dasar tetap gagal sekiranya pelaksanaannya lemah.

“Sektor perolehan kerajaan sekian lama menjadi ‘lubang hitam’ yang menjejaskan skor CPI akibat ketirisan sistemik.

“Di bawah kerangka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, amalan pemberian projek melalui rundingan terus yang bernilai tinggi wajib dihentikan sepenuhnya.

“KSU perlu memastikan sistem tender terbuka dilaksanakan secara mutlak, di samping mewajibkan pengisytiharan pemilik sebenar bagi setiap syarikat pembida untuk menyekat amalan kronisme atau proksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, segala transaksi secara fizikal membabitkan proses pembidaan atau permohonan sesuatu tender wajar ditamatkan sama sekali dan diganti kaedah digital bagi menutup ruang kepada aktiviti suapan atau rundingan ‘bawah meja’ berlaku.

Katanya, setiap KP perlu menjadikan setiap urusan tanpa kaunter sebagai sasaran transformasi di setiap jabatan kerajaan yang terdedah dengan risiko ketirisan atau salah guna kuasa sebaliknya sediakan akses secara digital berpandukan algoritma serta kecerdasan buatan (AI).

“Apabila proses permohonan dioptimumkan melalui sistem kecerdasan buatan atau kelulusan automatik berpandukan algoritma, ruang untuk rundingan bawah meja secara langsung terhapus.

“Setiap keputusan juga wajib direkodkan dalam sistem jejak audit digital (digital audit trail) bagi memastikan sebarang kelulusan luar biasa dapat dikesan secara masa nyata,” katanya.

Mohd Gunawan berkata, pemberi maklumat juga perlu diberikan perlindungan yang lebih komprehensif kerana tiada organisasi mampu dibersihkan sekiranya warga kerjanya ketakutan untuk melaporkan salah laku.

Katanya, KSU dan KP bertanggungjawab menterjemahkan komitmen pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 ke peringkat akar umbi.

“Unit Integriti di setiap kementerian tidak boleh lagi sekadar menjadi sekutu pentadbiran; struktur pelaporannya mesti diletakkan secara bebas dan melapor terus kepada SPRM.

“Malah, keberkesanan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) wajib dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) tegar yang menentukan masa depan kenaikan pangkat pegawai-pegawai gred tinggi, “katanya.

Menurut, setiap agensi berkaitan perlu mengamalkan akauntabiliti radikal termasuk menjawab setiap teguran di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dengan segera.

Katanya, amalan sebelum ini ada agensi yang tidak mengendahkan hasil dapatan daripada audit berkenaan malah tidak memberi sebarang respon selama bertahun-tahun.

“KSU mesti menetapkan KPI tegas di mana setiap teguran di bawah LKAN wajib diselesaikan dengan tindakan pembetulan mahupun punitif dalam tempoh maksimum tiga bulan.

“Ini perlu disokong dengan dasar data terbuka (open data) perbelanjaan kementerian agar boleh disemak secara telus oleh pihak media dan masyarakat sivil.

“Kita harus berpijak di bumi nyata. Melonjak ke kedudukan 25 terbaik dunia bukan satu misi yang mudah, namun ia sama sekali tidak mustahil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top