am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya membongkar cubaan membawa masuk makanan sejuk beku secara tidak sah menerusi pengikraran tidak sah.
Dalam operasi Op Ribat Sepanggar Siri 1/2026 itu, sebanyak 12 kontena berisi produk ayam dan babi bernilai RM3.42 juta berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi yang dilaksanakan sejak 19 Mei lalu menerusi kerjasama strategik antara AKPS.
Menurutnya, antara yang terbabit adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.
“Hasil operasi itu, sebanyak 12 kontena dikenal pasti dan diperiksa di Pelabuhan Sepanggar pada 16 Julai lalu.
“Pemeriksaan mendapati semua kontena berkenaan mengandungi produk haiwan berupa ayam sejuk beku dan babi sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui pengikraran yang tidak selaras.
“Keseluruhan dagangan itu dianggarkan seberat 348,000 kilogram dengan nilai sebanyak RM3,422,000 dan dipercayai berasal dari China serta Hong Kong,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, susulan penemuan itu, AKPS menyita keseluruhan dagangan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235] kerana disyaki gagal membuat akuan penuh dan benar serta mengemukakan perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam perkara material.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily menegaskan AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau apa-apa bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara.
Katanya, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan.
“Ia bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara serta pematuhan terhadap undang-undang dapat diperkasakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




