Pas terbuka terima ahli Bersatu keluar parti – Abdul Hadi

Pas terbuka terima ahli Bersatu keluar parti – Abdul Hadi

MARANG – Pas terbuka menerima mana-mana anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang ingin menyertai parti itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu selaras dengan pendirian parti yang tidak pernah menghalang kemasukan mana-mana individu yang berminat untuk bersama perjuangan parti berkenaan.

“Mereka yang hendak masuk Pas, kita terima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas susulan tindakan beberapa pemimpin kanan Bersatu di Terengganu yang meletakkan jawatan dalam parti tersebut.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Bersatu Terengganu berdepan krisis kepimpinan apabila tiga pemimpin utamanya mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut sehingga menjejaskan struktur kepimpinan parti di negeri itu.

Difahamkan, situasi tersebut bermula selepas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu berkuat kuasa serta-merta.

Razali yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca tindakannya itu.

Beliau yang merupakan antara pengasas Bersatu pada 2016 mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu.

Selain Razali, dua lagi pemimpin kanan parti turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing ialah ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang turut melepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu Negeri manakala ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin melepaskan jawatan Bendahari Bersatu Negeri.

Turut memberikan bayangan untuk mengambil keputusan sama, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri.

-ENDS-

Scroll to Top