farahmarshita@bh.com.my
Petaling Jaya: Parti Wawasan Negara (WAWASAN) berhasrat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang wakilnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagaimanapun pihaknya bersedia bertolak ansur demi kepentingan gabungan.
Katanya, WAWASAN berhasrat mempertahankan kerusi yang kini disandang wakil parti itu di kawasan Bemban dan Sungai Udang pada PRN Melaka.
“Hasrat kita bukan sekadar memastikan calon kita dapat bertanding, tetapi juga menang dalam pilihan raya.
“Jika kita benar-benar mahu memperkukuhkan gabungan dan meneruskan gelombang biru yang bermula di Johor serta diteruskan di Negeri Sembilan, semua parti perlu mengamalkan sikap bertolak ansur.
“Perkara ini perlu dibincangkan bersama semua presiden parti dalam gabungan.
“Buat masa ini belum ada tarikh ditetapkan untuk rundingan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) WAWASAN, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan bahawa pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH) boleh memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Melaka, Hamzah berkata konsep ‘gelombang biru’ bukan bertujuan mengambil kesempatan terhadap masalah dalaman mana-mana parti.
Katanya, gelombang biru mempunyai agenda yang lebih besar iaitu memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Sama ada ada pemimpin parti lain meletakkan jawatan atau tidak mahu memegang sesuatu jawatan, itu adalah urusan dalaman parti mereka dan tiada kaitan dengan kita.
“Yang penting bagi kita ialah apabila diberi mandat, kita mesti melaksanakan segala janji yang dibuat kepada rakyat semasa kempen pilihan raya.
“Jangan ketika berkempen kita menjanjikan pelbagai perkara, tetapi selepas menang dan berkuasa, pendirian berubah. Itu yang kita tidak mahu.
“Bagi kita, soal paling utama ialah menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. Apa sahaja yang berlaku dalam parti lain adalah urusan mereka dan tidak ada kena-mengena dengan kita,” katanya.
Mengulas mengenai mesyuarat yang diadakan, Hamzah berkata, WAWASAN meluluskan pindaan perlembagaan parti yang baharu bagi memperkukuh hala tuju perjuangannya.
Katanya, pindaan itu dibuat selepas parti itu mengambil alih bekas Parti Cinta Malaysia (PCM) dan menukar namanya kepada Parti Wawasan Negara, namun sebelum ini masih menggunakan perlembagaan asal PCM.
“Hari ini kita mengadakan EGM bagi meminda perlembagaan asal dan menyesuaikannya dengan hala tuju baharu parti. Semua pindaan itu sudah diluluskan pada malam ini.
“Banyak perkara diubah daripada perlembagaan lama kepada yang baharu. Yang paling penting ialah falsafah perjuangan parti yang berteraskan usaha menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




