Khairul Aming raih jualan lebih RM2 juta dalam kurang dua minit

Khairul Aming raih jualan lebih RM2 juta dalam kurang dua minit

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan tempatan, Khairul Aming, mencatatkan jualan melebihi RM2 juta dalam tempoh kurang dua minit menerusi jualan produk terbaharu di platform TikTok.

Pencapaian itu dikongsi menerusi ‘TikTok Live’ anak muda berusia 33 tahun itu di tiktokshop_my yang diumumkan dari Menara Merdeka Maybank (dahulunya Merdeka 118), yang menjadi lokasi pelancaran produk terbaharunya.

Antara produk berkenaan termasuk Rendang Nyet Berapi, Dendeng Nyet Ekstra Pedas, Oriental Kopi Putih Premium dan beberapa lagi.

Produk berkenaan dilaporkan habis terjual dalam tempoh kira-kira satu minit, manakala sesi siaran langsung itu menarik lebih 300,000 penonton, meningkat berbanding kira-kira 100,000 penonton pada tahun sebelumnya.

Kejayaan berkenaan turut memecahkan rekod jualan peribadi Khairul Aming juga dikenali KA, sekali gus mencerminkan pengaruh besar pencipta kandungan dalam perkembangan perniagaan berasaskan digital.

Pemilihan Menara Merdeka Maybank sebagai lokasi pengumuman pencapaian itu turut memberi simbolik terhadap kejayaan jenama tempatan yang dibangunkan daripada platform media sosial.

TikTok Live berkenaan mendapat lebih 100 juta ‘likes’ selain mendapat lebih 60,000 tontonan.

Setakat jam 10.45 malam ini, lebih 50,000 produk berjaya dijual.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top