Lautan kuning tetap gegak gempita, Ultras Malaya teruskan boikot

Lautan kuning tetap gegak gempita, Ultras Malaya teruskan boikot

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kempen boikot Ultras Malaya tidak menghalang Stadium Bolasepak Kuala Lumpur daripada terus dipenuhi lautan kuning apabila Harimau Malaya turun menentang Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026, malam ini.

Dengan tiket bagi penyokong Malaysia dilaporkan sudah habis terjual, lebih 18,000 peminat dijangka memenuhi stadium sekali gus menjanjikan sokongan padu buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Perlawanan itu cukup penting buat Harimau Malaya kerana kemenangan ke atas Filipina akan mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir.

Tinjauan Arena Metro mendapati, bahang perlawanan mula dirasai apabila ribuan penyokong sudah membanjiri perkarangan stadium sejak jam 5 petang.

Kebanyakan penyokong yang ditemui turut menyuarakan keyakinan bahawa skuad negara mampu menundukkan Filipina dan meneruskan kemaraan dalam kejohanan berkenaan.

Penyokong tegar Harimau Malaya, Zamri Ali, meramalkan skuad negara mampu mencatat kemenangan 2-0 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Menurutnya, isu membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar diketepikan buat sementara waktu dan seluruh penyokong perlu bersatu memberikan sokongan kepada pasukan negara.

“Itu (boikot) pandangan masing-masing, tapi sebagai penyokong, saya daripada tahun 70-an memang sokong pasukan negara. Sekarang umur saya pun hampir 60 tahun dan saya tetap sokong demi negara.

“Saya rasa kira-kira 20,000 penyokong akan hadir malam ini dan perkara itu penting untuk menaikkan semangat pemain. Saya tengok taktikal Cheng Hoe memang menjadi. Dia juga memang sudah mengenali bola sepak Malaysia,” katanya.

Harimau Malaya kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata, berkongsi jumlah sama dengan Myanmar di tempat ketiga.

Thailand pula menerajui kumpulan dengan sembilan mata, sekali gus menjadikan aksi menentang Filipina sebagai perlawanan yang cukup penting buat skuad negara dalam usaha melangkah ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top